SASTERA

Nabi sastera dalam jagat bangsa

Oleh Rien SD

SASTERA sebagai naluri bangsa — keluasan dan kedalaman kemanusiaan masyarakat dapat dilihat melalui sasteranya. Ini peranan hakiki sastera, lidah yang berbisa. Jika sebutir peluru mampu menumbangkan seorang musuh, maka sastera mampu menyelamatkan sebuah bangsa. Sastera sebagai perakam peristiwa, menjadikannya mushaf agung turun temurun sesebuah bangsa. Kekuatan sastera tidak boleh diragu, bahkan tidak wajar diwaspadai kemampuannya.

Namun, adakah sastera hari ini masih berfungsi sebagaimana sepatutnya ia berfungsi, berperanan? Masihkah sastera kita bersifat sejagat dan memihak? Di manakah kedudukan sastera dalam sistem pendidikan kita? Masih berupayakah sastera hari ini menjadi perakam peristiwa untuk diulang baca oleh generasi akan datang? Persoalan ini adalah titik mula untuk kita memastikan sastera hari ini masih berfungsi seperti sedia kala.

Berapa ramai lagi akademikus seperti Khoo Kay Kim (prof) ―  yang mempertikai posisi sastera dalam dunia akademik ― yang mencermati projek menganaktirikan bidang sastera. Katanya: Peruntukan untuk penyelidikan mereka (kerajaan) banyak diberi kepada sains berbanding sastera. Ini bagi saya tidak adil, setiap universiti memberi keutamaan kepada sains, jadi masyarakat muda sekarang tidak tahu tentang sejarah negara. Kami dalam bidang sastera dan budaya, tidak dapat menentukan sama ada kami diberi layanan yang betul. Ini kegelisahan yang ditanggung oleh akademikus yang jujur dengan kedudukannya dan rimas dengan letak duduk sastera dalam masyarakatnya. Kritikus sastera seharusnya bukan hanya berbicara hal-hal teknikal sastera. Mereka perlu mempertahankan hayat sastera, jangan sampai ia terbunuh dan dijadikan komoditi yang serba laku.

Keprihatinan kepada penganaktirian sastera patut menjadi kerisauan masyarakat ― terutama akademikus di kampus ― untuk menyelamatkan ranah kebudayaan dan sastera dari menjadi malap, gelap dan menemui ajalnya. Anak-anak bangsa kita akan mati kelemasan jika mereka tidak ditawarkan sastera autentik yang menghikayatkan perihal bangsanya. Penggerak budaya perlu memainkan peranan, menjalankan tugas mereka sebagai pekerja budaya (cultural workers).

 Fungsi sosial

Sastera atau kesusasteraan tidak lahir daipada sebuah ruang kosong. Sastera sebagai cermin masyarakat dan tempat penyataan perasaan manusia, lahir daripada masyarakat, lahir daripada rakyat. Demikianlah erti sastera oleh SN Usman Awang dari corong radio yang kemudian dimuat ke Utusan Zaman pada 1953. Betapa unggulnya sastera sebagai pelampung penyelamat kepada masyarakat. Dan untuk konteks ketika itu ― lewat perjuangan sastera Pak Usman ― sastera inilah yang bertindak sebagai alat menuju pembebasan rakyat daripada pemerintahan despotik dan sikap drakonian imperialis. Bahkan saat itu, ketika berbicara tentang tujuan puisi, Pak Usman, depan mahasiswa Universiti Malaya sekitar 1956, berkata:

 “Sekarang adalah zaman perjuangan, zaman bangsa kita sedang berjuang untuk kemerdekaan dan kedaulatan tanah airnya. Maka dengan demikian saya dengan tidak ragu-ragu lagi mempergunakannya (yakni puisi) untuk tujuan ini- untuk tujuan kemerdekaan tanah air kita yang tercinta!”

Hari ini ― pasca 60 tahun merdeka ― sastera kekal relevan sebagai alat pembebasan dan mesin perakam peristiwa yang tidak terkalahkan. Penulisan sastera perlu menyeluruhi dinamika masyarakat dan permasalahan yang ditanggungi. Sastera perlu menampung dan memperihalkan kebocoran yang berlaku di ruang publik.

Maka, tidaklah seharusnya sastera dipisah dan diasingkan daripada fungsi sosialnya. Tool semacam sastera adalah alat tukang yang tidak boleh disorok dalam bengkel (kampus). Mujur, sehingga hari ini, kita masih bernafaskan sastera dan ranah kebudayaan ini belum ronyok dan berkocak teruk ― walaupun sebahagiannya sudah bertukar elit atau menjadi semacam “sastera pasar” yang output-nya bergantung kepada selera masyarakat; tertakluk kepada hukum permintaan dan penawaran.

Pelampung sastera

Manusia sastera lebih canggih walaupun mereka tidak terdedah dengan segala hal bersangkutan dengan teoritikal dan empirikal seperti dalam bidang sains. Eksperimen bagi seorang manusia sastera adalah membedah siasat hayat bangsanya, menguji dan menyiasat kondisi sosial, menulis laporan dan menceritakannya dengan berjela-jela dan sarat nilai serta pengajaran. Tidak perlu didatangkan sains sebagai pelampung menyelamatkan anak bangsa yang mati jiwa sasteranya. Sebuah bangsa tidak ditukang di dalam makmal; ia dipertahan dengan pergelutan dan keterlibatan secara langsung.

Manusia sastera adalah pemerintah yang berkuasa dalam mewakili suara para murbawan. Menamatkan (atau sekurangnya, mempermasalahkan) segala bentuk perlecehan (untuk konteks Malaysia ― menyelamatkan masyarakat yang hanyut dalam proses dekolonialisasi, misalnya). Suara manusia sastera hampir menyamai sabda nabi dalam menjaga umatnya. Mereka bertaruh nyawa dan jiwa; meskipun lidah mereka dipotong, selagi tinta belum habis, mereka akan menyiapkan hikayat rakyat. Inilah sastera rakyat, pedoman yang ditinggalkan kepada kita, yang wajib diulang baca, diperhatikan plot-plotnya dengan teliti agar sejarah daripada naratif lampau tidak berulang.

Namun, manusia sastera terlalu ideal. Terlalu sukar untuk mereka menggalang tanggungjawab yang menggunung untuk kondisi sastera hari ini. Mengangkut beban sosial, sepatutnya dipikul oleh manusia sastera, sudah hampir ― bahkan mungkin serupa ― menyamai peranan pemikir/intelektual yang seharusnya tidak teragak-agak untuk menyembur segala yang terbuku membeku di jiwa mereka.

Manusia sastera adalah pemberani-pemberani yang tidak takut periuk nasi mereka berhenti berasap dan dapur mereka tidak lagi berkicap. Betapa, seorang manusia sastera seperti Pak Usman― dalam ucapannya penerimaan Anugerah Sastera Negara di Dewan Bankuet, Parlimen pada 7 Disember 1983 ― menyentuh perkara paling bahaya dan menggugat, katanya:

“Saya bermohon menyuarakan harapan agar korupsi, pilih kasih dan segala penyelewengan dalam bentuk apa pun yang menjadi beban serta merugikan rakyat dapat dihapuskan”.

Sayangnya, sebahagian penulis kita tidak begitu sensitif terhadap kenyataan yang wujud di tengah-tengah kehidupan masyarakatnya. Sastera haruslah meliputi semua aspek kehidupan manusia secara luas. Dalam zaman pembangunan ini nelayan tidak lagi berkolek payah, tetapi berkenalan dengan alat-alat moden menangkap ikan, dengan motor berenjin dan sebagainya. Tetapi adakah jiwa mereka tidak lagi berombak, dan kehidupan mereka tidak lagi berkocak?

Betapa, kita tidak mampu membayang singgungan tajam Pak Usman ― sekiranya diucapkan oleh penggiat sastera hari ini untuk menelanjangi kebejatan para koruptor dan mewakili rintih payah kaum miskin desa dan kota ― akan menyebabkan manusia sastera disumbat ke dalam jeriji besi sebagai tahanan tanpa bicara.

Namun, kerja ini adalah ikrar yang sudah diputuskan. Semacam kontrak antara manusia sastera dan masyarakatnya ― memaku dinding bangunan bangsa. Membangunkan semula sesuatu yang pernah runtuh tersembam ke bumi. Seperti kata Pak Usman dalam puisinya Jiwa Hamba:

Kalau hidup ingin merdeka

Tidak tercapai hanya berkata

Ke muka maju sekata, maju kita

Melemparkan jauh jiwa hamba

 

Ingatkan kembali kata sakti

Dari bahang kesedaran berapi

“Di atas robohan Kota Melaka

Kita dirikan jiwa merdeka”


Pengarang :