SELANGOR

Naik taraf jalan di Sepang lancarkan aliran trafik waktu puncak

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 9 FEB: Projek menaik taraf jalan B48 dari Simpang Tiga Jenderam ke Pekan Sepang Lama, di sini, dapat melancarkan pergerakan kenderaan dari arah Sepang ke kawasan Salak kerana jalan sedia ada mempunyai aliran trafik padat, pada waktu puncak.

Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Rozita Mat Senapi berkata, ia sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dengan beberapa aspek keselamatan dipertingkatkan seperti penyediaan lampu jalan dan jejantas pejalan kaki.

“Skop utama projek ini merangkumi kerja menaik taraf jalan sedia ada daripada dua lorong, dua hala kepada empat lorong dan dua hala. Antara skop lain projek ini adalah menaik taraf simpang Bandar Enstek, simpang LBJ dan simpang pekan Sepang.

“Di samping itu, terdapat pembinaan jejantas pejalan kaki, pelebaran culvert sedia ada, menaik taraf longkang sedia ada, kerja geoteknikal dan elektrikal.

“Projek ini juga bakal merancakkan lagi pembangunan ekonomi di kawasan ini seterusnya menyemarakkan aktiviti penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek menaik taraf jalan B48 daerah Sepang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua pihak yang terbabit perlu bekerjasama dengan mengutamakan aspek kualiti, keselamatan jalan raya, mematuhi pelan pengurusan trafik semasa pembinaan dan kos siling ditetapkan.

“Semoga projek ini dapat berjalan lancar dan sempurna demi keselesaan dan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.

Projek yang memasuki fasa tiga itu sudah bermula sejak 28 Disember lalu dan dijangka siap, pada November 2020.

Terdapat dua pakej projek dinaik taraf iaitu pakej A di bawah kontraktor Tulane Sdn Bhd dengan kos RM54.5 juta, manakala pakej B di bawah kontraktor Jurumart Sdn Bhd dengan kos RM50.7 juta.


Pengarang :