NASIONAL

Najib dan Umno hanyalah ‘penari’ ikut alunan irama Pakatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 FEB: Pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa tol dikenakan membebankan rakyat membuktikan Umno dan Barisan Nasional (BN) bukanlah pencetus idea tetapi hanyalah pengikut kepada cetusan idea Pakatan Harapan (Pakatan).

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil, berkata, kenyataan Najib itu juga menunjukkan pemimpin Pakatan lebih memahami aspirasi rakyat berbanding golongan elit Umno-BN yang hidup dalam dunianya tersendiri.

“Tidak mustahil kita bakal menyaksikan usaha di peringkat akhir sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pihak Umno-BN cuba memenangi hati rakyat dengan menghapus beberapa tol tetapi rakyat pun faham yang berjuang untuk menghapuskan tol ini adalah Pakatan.

“Maka, sekali lagi terbukti Pakatan menetap agenda dan Umno-BN pula hanya menari mengikut rentak dan irama kami,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Jelasnya, kenyataan Najib itu juga membuktikan Umno-BN bersetuju bahawa hujah Pakatan berhubung isu ini sejak dahulu lagi tepat.

Katanya, keadaan ini memudahkan rakyat membuat pilihan menjelang PRU-14 nanti dengan menilaikan banyak idea bernas dilahirkan Kerajaan Negeri yang dikuasai Pakatan.

Katanya lagi, pelbagai idea bernas Pakatan itu timbul berikutan wujudnya gandingan saf kepimpinan berpengalaman mentadbir Kerajaan Negeri dan di peringkat Persekutuan.

Sebelum ini, beberapa program Kerajaan Selangor telah menarik minat Kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri yang dikuasai Umno-BN untuk meniru program yang dijalankan.

Antaranya adalah pemberian air percuma yang diikut kerajaan di bawah BN seperti di Johor, Kedah dan Terengganu.

=EZY=


Pengarang :