SELANGOR

Negeri pertama beri geran alam sekitar, teknologi hijau kepada masyarakat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 FEB: Selangor unggul sebagai peneraju dalam memupuk kesedaran terhadap alam sekitar dan teknologi hijau di kalangan masyarakat apabila muncul yang pertama menyediakan Program Geran Alam Sekitar dan Teknologi Hijau untuk diusahakan masyarakat.

Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, berkata program dengan peruntukan RM750,000 itu membolehkan masyarakat di Selangor memohon geran pembiayaan projek yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Program ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori alam sekitar yang membabitkan peruntukan RM250,000 dan teknologi hijau sebanyak RM500,000.

“Bagi kategori alam sekitar, geran bernilai RM5,000 maksimum disediakan untuk setiap organisasi, manakala bagi kategori teknologi hijau pula geran bernilai RM10,000 untuk setiap organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Taklimat Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2018 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) atau turut dikenali Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam di sini, hari ini.

Jelasnya, bagi kategori alam sekitar terbahagi kepada projek pendidikan alam sekitar, perlindungan hutan, penanaman pokok dan kitar semula sisa buangan.

Sementara itu bagi kategori teknologi hijau pula membabitkan projek pengeluaran karbon, pemuliharaan air, penjimatan tenaga, pendidikan dan kesedaran komuniti tentang perubahan iklim dan kebun komuniti.

“Adanya program ini, saya percaya dapat memberi peluang lebih luas kepada masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam menjaga alam sekitar dan bukannya bergantung kepada pihak kerajaan semata-mata,” katanya.

=EZY=


Pengarang :