SELANGOR

Netizen gesa segera roboh Tol Batu 3 elak kemalangan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 FEB: Plaza tol Batu Tiga perlu dirobohkan serta-merta susulan kemalangan maut kali kedua yang berlaku selepas operasinya tamat, pada 1 Januari lalu.

Pengguna media sosial, Rajimie Kamaridha berkata, kegagalan perobohan dibuat bakal mengundang lebih banyak kemalangan jiwa.

“Pondok tol itu kena robohkan cepat kerana sudah berapa kes membabitkan nyawa, biasa situ kenderaan perlahan. Sekarang dah laju bila tiada kutipan tol,” tulisnya di Facebook.

“Kesian mangsa. Simpan tol untuk apa lagi? Selepas pilihan raya sambung buat kutipan tol semula ke?” soal Jagan Rao.

“Banyak kes membabitkan anak muda dan kelajuan. Kenapa lambat sangat robohkan tol?” soal pengguna media sosial, Hasnul Abdul Hamid.

Dalam kejadian awal pagi tadi, mangsa, Fathurezza Khoirul Huda Halimsuyto, 31, dan rakannya, Noor Hidayah Mohamed Rezmi, 27, maut ditempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Myvi dinaiki kedua mangsa dipandu laju.

“Mangsa datang dari arah Kuala Lumpur dan apabila sampai di Plaza Tol Batu Tiga, mangsa gagal mengawal kereta lalu melanggar tembok batu tol berkenaan.

“Pemandu iaitu Fathurezza Khoirul Huda dan penumpang, Noor Hidayah maut di tempat kejadian serta mayat keduanya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Kemalangan pertama dilaporkan berlaku membabitkan tiga remaja yang menaiki Perodua Kancil dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang, pafa 15 Januari lalu.

Kejadian itu turut mengorbankan dua daripadanya, sementara seorang lagi cederah parah dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan lanjut.

 


Pengarang :