SELANGOR

Operasi SAR pemancing hanyut disambung pagi ini

OLEH SABIRAH AZIZ

SUNGAI BULOH, 20 FEB: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing yang dihanyut arus Sungai Gasi di sini, petang semalam, disambung semula pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, operasi SAR itu membabitkan dua Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menggunakan dua bot untuk mengesan kedudukan mangsa.

“Ketika ini, pencarian oleh kedua-dua pasukan berkenaan sudah sampai ke aliran sungai sekitar Saujana Utama, Puncak Alam, kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

“Operasi juga ditumpukan pada tebing sungai hingga ke Kuala Selangor dengan beberapa lokasi pemeriksaan seperti Jambatan Merbau Sempak; Jambatan Kubu Gajah dan perangkap sampah di Bestari Jaya serta Kuala Selangor,” katanya lapor Berita Harian.

Setakat ini, daripada lima pemancing termasuk dua wanita yang dilaporkan hilang dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, mayat dua mangsa sudah ditemui.

Mangsa pertama ditemui pada jam 9.50 malam kira-kira 8.2 kilometer dari lokasi kejadian, manakala mayat kedua ditemui jam 1.26 pagi, kira-kira satu kilometer daripada lokasi penemuan awal.

Pengarah JBPM Selangor, Azmi Osman dijangka mengadakan sidang media jam 9.30 pagi ini.

=EZY=


Pengarang :