PBTSELANGOR

Ops Pecah Tanjak bertindak ke atas empat premis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 FEB: Empat premis dikenakan tindakan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ekoran menyalahgunakan tempat letak kenderaan untuk tujuan perniagaan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, premis terbabit dikenakan tindakan kerana membina tanjakan (ramp) tanpa kebenaran dihadapkan premis mereka.

Katanya, MBSA mengambil langkah dengan memecahkan lima tanjakan dan mengenakan dua kompaun dalam operasi yang diadakan.

“MBSA menggunakan sebuah jentera ‘excavater’ untuk menanggalkan tanjakan itu dalam operasi di Seksyen 7, di sini, semalam.

“Operasi itu bertujuan untuk mengesan dan menangani masalah pemilik premis perniagaan yang menyalahgunakan tempat letak kereta untuk tujuan perniagaan tanpa kebenaran pihak MBSA,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, penggunaan tempat letak kereta tanpa kebenaran untuk tujuan perniagaan adalah satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133).

Untuk rekod, MBSA mengenalpasti 21 kategori perniagaan yang boleh memohon sewaan tempat letak kereta khas untuk tujuan perniagaan antaranya kedai membaiki kereta/motosikal, kedai menjual aksesori kereta/motosikal, kedai menjual perabot, klinik, ruang pameran kereta/motosikal dan pasar raya/kedai runcit yang memerlukan ruang pemunggahan barang.

Sebarang pertanyaan berkenaan sewaan petak letak kereta khas, sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1477, 1657 dan 1658.


Pengarang :