PBTSELANGOR

Orang ramai disaran respon Pelan Draf Tempatan Kajang 2035

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 1 FEB: Orang ramai berpeluang melihat dan memberikan pandangan berhubung Pelan Draf Tempatan Kajang 2035 yang bakal dikongsikan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tidak lama lagi.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, ia bertujuan membolehkan pihak berkepentingan memberikan maklum balas kepada mereka.

Pelan draf tempatan itu diperkenalkan kepada ahli Majlis semasa mesyuarat lembaga penuh MPKj pertama baru-baru ini.

Beliau berkata, pelan draf tempatan yang ada sebelum ini tamat pada 2020, maka pihak Majlis menyediakan pelan dilanjutkan sehingga 2035.

“Orang ramai boleh memberi maklum balas dalam tempoh lebih dari sebulan apabila rancangan draf tersebut dikongsikan kepada mereka. Kami juga merancang untuk mengeluarkan salinan CD untuk kemudahan awam,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bila pelan draf itu akan dibuka terbuka kepada orang ramai.

Mohd Sayuthi berkata, dalam pengenalan pelan itu, beberapa kawasan berpotensi dimajukan dibangkitkan, termasuk idea menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai bandar rendah karbon serta mewujudkan pembangunan berpotensi di Semenyih dan Beranang.

“Fokus pembangunan beralih ke selatan dan kita melihat banyak kawasan di Semenyih dan Beranang masih belum dibangunkan,” katanya.


Pengarang :