BERITA UTAMASELANGOR

PAHLAWAN terus dipeduli, sumbang RM30,000 bantu kebajikan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 FEB: Kerajaan Negeri berbesar hati menyalurkan sumbangan RM30,000 kepada Pertubuhan Perihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (PAHLAWAN) bagi membantu pertubuhan itu meneruskan kelangsungan aktiviti menjaga kebajikan aggotanya.

Sumbangan awal itu diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ketika menyampaikan ucaptama Konvensyen Dan Mesyuarat Agung Kali Ke-4 bertempat di Dewan Raja Muda Musa hari ini.

Katanya, jumlah itu merupakan sumbangan awal dan Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan jumlah lain selepas ini bagi membantu PAHLAWAN.

“Saya kira sudah sampai masanya sebuah kerajaan peduli rakyat melihat semula usaha memelihara kepentingan dan kesejahteraan angkatan tentera yang memberikan banyak sumbangan mempertahankan kedaulatan negara.

“Golongan veteran anggota tentera merupakan satu kumpulan yang terbiar dan tidak mendapat pembelaan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya kira tuntutan dikemukakan PAHLAWAN ini boleh diteliti demi menjaga mereka dan kepentingan keluarga pada masa akan datang,” katanya.

Tuntutan Lima Perkara PAHLAWAN Dikaji

Mohamed Azmin berkata, beliau sudah meneliti Tuntutan Lima Perkara (T5P) yang digagaskan PAHLAWAN dan menyifatkannya bukan satu tuntutan melampau bahkan mampu ditunaikan Kerajaan Persekutuan.

T5P antaranya menuntut kenaikan pencen pesara veteran tentera selaras kenaikan gaji semasa dan Kerajaan Persekutuan memberi imbuhan RM6,000 setahun kepada veteran yang tidak berpencen.

Selain itu, mereka mahu hak mewariskan pencen veteran pesara kepada waris terdekat selepas kematian pesara terutama isteri dinikahi selepas tamat perkhidmatan manakala kelayakan pencen terbitan harus untuk sepanjang hayat.

PAHLAWAN turut menuntut penyeragaman pencen, pencen hilang upaya (PHU) dan ex-gratia untuk semua veteran tentera hilang upaya (VTHU) perang tanpa mengira tahun akhir perkhidmatan, serta meminta Kerajaan Persekutuan menyediakan sebidang tanah (atau rumah mampu milik rumah kos rendah) kepada veteran tentera selepas persaraan.

=EZY=


Pengarang :