Pampasan RM180,000 dan kediaman RM250,000 buat 980 keluarga tersenyum lebar | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Norway

Wartawan

Nazli Ibrahim

Pampasan RM180,000 dan kediaman RM250,000 buat 980 keluarga tersenyum lebar

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 11 FEB: Seramai 980 keluarga bekas peneroka Bukit Cherakah di sini kini boleh menarik nafas lega apabila pampasan tunai berjumlah RM180,000 dan kediaman bernilai RM180,000 yang dijanjikan pemaju asal pada 1998 akhirnya berada dalam genggaman mereka.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Rumah Terbengkalai Rancangan Tanah Revolusi Hijau Bukit Cherakah 2 dan 3, Omar Ali Basha, 66 tahun, berkata sinar penyelesaian bagi masalah berlarutan selama 20 tahun ini semakin kelihatan.


Katanya ia apabila kepimpinan Kerajaan Negeri sekali lagi bertukar tangan kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada tahun 2014.

“Alhamdulillah apabila Kerajaan Negeri bertukar tangan, kita mengorak langkah mencari jalan penyelesaian dan pada 2015 saya dan rakan menyerahkan memorandum kepada Dato’ Menteri Besar yang ada hari ini untuk membantu kami.

“Akhirnya pemaju sekarang setuju mengambilalih projek terbengkalai ini dan kami amat berterima kasih kepada Dato’ Seri kerana beliau memang bersungguh-sungguh membantu menyelesaikan masalah ini dan sendiri kerap mengambil tahu bagaimana kemajuan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pemilikan Rumah Antara Peserta Dengan Pemaju Paragon Pinnacle Sdn Bhd di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Jelasnya, sebelum ini pemaju telah melunaskan bayaran akhir pampasan berjumlah RM180,000 kepada kesemua peserta terbabit.

Saad Tamsir, 82 tahun, pula berkata, beliau bersyukur kerana keprihatinan Kerajaan Negeri membantu menyelesaikan isu projek terbengkalai ini.

“Terlalu lama saya menunggu daripada sihat hinggalah sekarang dah berkerusi roda tetapi syukur akhirnya tercapai juga,” katanya.

Sementara itu, Norhayati Md Noh, 42 tahun, memberitahu beliau terharu dan sayu apabila ibunya tidak dapat menyertai majlis ini kerana sudah terlalu uzur.

“Semasa perjanjian awal dahulu saya masih kanak-kanak hingusan, ibu saya masih sihat tetapi sekarang dah tak mampu berjalan sebab itulah saya mewakili mereka.

“Bersyukur ada, terkilan pun ada kerana perjanjian ini daripada saya kecil sekarang dah tua baru selesai,” katanya.

Jelasnya, selain ibunya yang sudah uzur, terdapat ramai peserta asal yang sudah meninggal dunia.

Suami beliau, Mohd Zamri Abd Hamid, 51 tahun, menambah kejayaan ini diperolehi apabila adanya campur tangan dan komitmen yang tinggi daripada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah ini.

“Saya tak pasti bagaimana kerajaan dahulu tetapi kerajaan sekarang serius membantu menyelesaikan isu ini kerana dengan adanya campur tangan politik seperti ini yang sungguh-sungguh membantu barulah masalah ini boleh diselesaikan,” katanya.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next