SUKANKINI

Patuh peraturan, elak potongan mata

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 FEB: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengingatkan semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) musim ini melengkapkan dokumen pendaftaran dan mengatasi masalah pembayaran gaji pemain bagi mengelak pemotongan mata.

FMLLP berkata, peringatan itu diberi berulang kali dan pihaknya berharap tindakan terhadap empat pasukan, pada musim lalu tidak berlaku tahun ini.

“Harapan kita untuk tidak mengulangi hukuman sebegini tetapi pasukan harus memberi kerjasama melengkapkan dokumen serta menjelaskan gaji pemain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jika ada tunggakan sebelum 31 Mac ini.

“Masih ada pasukan yang tidak melakukannya dan ada yang langsung tidak menghantar dokumen itu walaupun notis serta peringatan dikeluarkan secara bertulis juga melalui telefon,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, perkara itu bukan sesuatu yang baru dan termaktub dalam undang-undang bola sepak sejak sekian lama, selain dibuat sebagai batas pasukan daripada melakukan kesalahan.

Justeru, FMLLP berharap pihaknya tidak dipersalahkan lagi jika tindakan diambil ke atas pasukan yang gagal berbuat demikian.

“Adakah kita ingin menyokong usaha pihak yang menghalang kemajuan industri bola sepak tempatan secara keseluruhan atas perbuatan memberi imej negatif, mengendahkan peraturan, salah urus kewangan serta menguruskan pasukan tanpa perancangan dan integriti?” soalnya.

Katanya, lebih menyedihkan apabila momentum pemain turut terjejas ekoran hukuman dikenakan kepada pasukan dan menimbulkan rasa marah penyokong kepada FMLLP, seolah hukuman hanya perlu ditanggung pengurusan.

Musim lalu, Kelantan dan T-Team yang beraksi dalam Liga Super serta Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (Liga Perdana) dikenakan hukuman pemotongan mata kerana tidak melunaskan tunggakan gaji pemain, juga gagal melengkapkan dokumen pendaftaran, pada tarikh akhir Disember 2016.


Pengarang :