GLOBAL

PBB luluskan gencatan senjata 30 hari di Syria

NEW YORK 25 FEB : Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan gencatan senjata selama 30 hari di Syria, susulan serangan udara terbaru di Timur Ghouta yang meragut lebih 500 nyawa orang awam.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan keputusan itu yang mendapat sokongan Russia dilaksanakan serta merta bagi membolehkan misi bantuan kemanusiaan dan perubatan disalurkan pada kadar segera.

Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, pesawat perang milik pasukan Syria yang dibantu Russia melancarkan serangan di Timur Ghouta sejurus selepas sesi pengundian oleh UNSC.

Ahad lalu, serangan di luar Damsyik oleh rejim Bashar Al-Assad mengorbankan sekurang-kurangnya 127 kanak-kanak manakala dalam serangan terbaru semalam, 41 orang awam disahkan maut,

Russia menafikan sebarang pembabitan dalam serangan berkenaan.

Undian oleh UNSC itu pada awalnya dijadualkan diadakan pada Khamis namun ditangguhkan beberapa kali kerana gagal mencapai kata sepakat dalam usaha mengelakkan penggunaan kuasa veto oleh Russia yang menyokong rejim Bashar.

Duta Besar Amerika Syarikat, Nikki Haley berkata, penderitaan penduduk Syria semakin bertambah setiap kali rundingan berkenaan ditangguhkan.

“Selagi tiada kata sepakat dicapai, bom dari jet pejuang Assad akan terus membunuh ratusan nyawa tidak berdosa.

“Sepanjang tempoh tiga hari majlis ini bersidang, berapa ramai ibu yang terpaksa kehilangan anak masing-masing,” katanya.

SUMBER: AFP


Pengarang :