SELANGOR

PBT disaran teliti pengurusan perolehan, elak ketirisan

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 FEB: Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disarankan meneliti secara menyeluruh pengurusan perolehan masing-masing bagi mengelakkan berlaku ketirisan atau pembaziran wang rakyat sekali gus mencalarkan imej Kerajaan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negeri Selangor (PAC), Ng Suee Lim berkata, Kerajaan Negeri tegas terhadap perkara itu sekiranya berlaku.

Katanya, PBT perlu memastikan lantikan perolehan dilakukan mengikut undang-undang, tertib dan cermat serta berhemah.

“Kita mahu wang-wang ini dijaga dengan baik supaya tidak berlaku ketirisan sekali gus membolehkan lebih banyak projek atau program dilakukan.

“Perkara ini perlu diambil serius. Penemuan ini dilakukan rawak bukan menyeluruh, jika lebih menyeluruh tentu lebih banyak kelemahan timbul,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Pendengaran Tertutup PAC berhubung pengurusan perolehan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Dalam pendengaran itu, Suee Lim berpuas hati dengan perhatian dan penyelesaian tindakan MPSJ laksanakan.

Katanya, daripada 21 teguran, sebanyak 17 perkara sudah diselesaikan manakala selebihnya dalam tindakan.

” MPSJ sebuah PBT efisyen, membanggakan negeri dengan pelbagai anugerah serta PBT contoh kepada PBT lain. Oleh itu, pengurusan MPSJ perlu lebih tegas dalam apa juga tindakan.

” Kita tidak mahu mana-mana jabatan terlepas pandang perkara remeh kerana ia boleh menjejaskan kepentingan Kerajaan Negeri dan wang rakyat dibazirkan,” katanya.

Pendengaran tertutup itu diadakan ekoran penemuan beberapa pengurusan perolehan bekalan yang terdapat kelemahan berlaku sejak 2013 hingga 2016.


Pengarang :