SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

PEKAWANIS sampai sumbangan sempena Tahun Baru Cina

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 25 FEB: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) menyampaikan sumbangan berjumlah RM152,100 kepada 1,200 orang masyarakat cina di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, sumbangan itu diberikan bersempena sambutan Tahun Baru Cina untuk 33 DUN dan enam Parlimen.

“Mereka akan menerima ang pow wang tunai sebanyak RM100 seorang.

“Program ini diadakan sebagai tanda keprihatian Kerajaan Negeri kepada setiap kaum yang menyambut perayaan,” katanya ketika Majlis Sambutan dan Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina, di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, di sini pagi tadi.

Difahamkan seramai 300 masyarakat cina hadir pada program pagi tadi dari lapan kawasan antaranya dari Parlimen Gombak, DUN Bukit Antarabangsa, DUN Batu Caves, DUN Sungai Pinang, DUN Dusun Tua dan DUN Meru.

Shamshida berkata, tahun lalu pihaknya juga menyampaikan sumbangan kepada seramai 1140 orang dengan peruntukan sebanyak RM148,200.

“Setiap tahun PEKAWANIS terus komited membantu golongan sasaran menerusi pelbagai program dianjurkan.

“Kita akan terus merangka pelbagai program kebajikan khususnya bagi membantu kurang upaya bagi meringankan beban rakyat,” katanya.

Seorang penerima, Michelle, 38, berterima kasih atas sumbangan yang diberikan kerana ia mampu meringankan beban keluarganya.

“Dengan bantuan ini, saya dapat gunakan untuk menambah perbelanjaan yang telah digunakan ketika menyambut Tahun Baru Cina,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Teh Liang Pen, 53, itu merupakan pertama kali beliau menerima sumbangan namun amat gembira di atas keprihatinan Kerajaan Negeri.

“Program seperti ini perlu diteruskan kerana ia membantu mengembirakan selain meringankan beban masyarakat di Selangor.

“Oleh itu saya berharap orang ramai akan terus menyokong dan mengundi Pakatan Harapan untuk menang PRU akan datang supaya program sebegini dapat diteruskan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :