SELANGOR

Pelan Induk Pembangunan Pertanian Selangor pacu kemajuan usahawan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 FEB: Usahawan Agro Generasi Muda Negeri Selangor (AGROGEMS) dan Industri Asas Tani (IAT) dinasihatkan supaya bersedia untuk merangka strategi pertanian selari dengan Pelan Induk Pembangunan Pertanian Selangor yang akan dibentangkan dalam masa terdekat.

Exco Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pelan induk itu merangkumi pelbagai strategi bagi memastikan bekalan makanan di Selangor berada dalam keadaan baik.

Katanya, menerusi cadangan dan dapatan kajian dilakukan secara langsung memberikan manfaat serta membuka peluang kepada pemain industri pertanian.

“Antara intipati kajian tersebut untuk meningkatkan usahawan tanaman berkonsepkan fertigasi, mengatasi masalah kos makanan untuk ternakan dan program membantu mengurangkan kebergantungan mendapatkan baka-baka serta benih ikan.

“Saya memandang serius berkenaan tindakan berterusan, pelaksanaan program dan hasil dapatan dari kajian tersebut.

“Diharapkan kajian itu dapat digunapakai semua jabatan berkaitan dan tidak tinggal kajian semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Malam Apresiasi Usahawan Agrogems dan Industri Asas Tani Negeri Selangor 2018 di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), semalam.

Program AGROGEMS memasuki tahun keempat menerusi penganjuran empat siri seminar sejak 2015 hingga 2017 melibatkan seramai 1,100 golongan generasi muda menceburi bidang pertanian sebagai sumber pendapatan dan ekonomi utama.

Setakat ini, Kerajaan Negeri sudah menyalurkan hampir RM1.5 juta kepada 103 penerima yang terdiri daripada usahawan tani pelbagai bidang.

“Menerusi pemantauan dilakukan jabatan, seramai 65 penerima menunjukkan kesan positif melalui data hasil jualan dengan peningkatan sehingga 63 peratus dari sebelum menerima bantuan peralatan.

“Hanya enam peratus sahaja yang gagal disebabkan faktor tanah tidak disambung penyewaan dan sebab lain bagi tempoh Program AGROGEMS 2015 hingga 2016,” katanya.

Dalam majlis sama, Zaidy turut berbesar hati menyampaikan anugerah cemerlang kepada 13 usahawan pelbagai bidang yang membawa pulang hadiah RM10,000 dalam bentuk barangan peralatan pertanian.

=EZY=

 


Pengarang :