SELANGOR

Pembahagian kerusi DUN Selangor proses biasa

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 15 FEB: Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor adalah proses biasa dalam mana-mana parti komponen, termasuk Pakatan Harapan (PAKATAN), kata Naib Pengerusi DAP Selangor, Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata, ia bukan masalah besar yang perlu diperbesarkan semua pihak memandangkan Parlimen masih belum dibubarkan sehingga hari ink.

“Ini adalah proses biasa yang mana Barisan Nasional (BN) juga belum selesai membuat pembahagian kerusi, justeru selagi pembubaran belum berlaku, saya rasa tidak perlu terburu-buru kerana kerusi tak lari pun, orang sahaja yang lari nanti.

“Jadi, tidak perlu risau sangat kerana di Selangor, banyak kerusi ada permintaan. Saya difahamkan perbincangan lebih tertumpu kepada kerusi yang belum dimenangi PAKATAN,” katanya pada sidang media Rumah Terbuka sempena Tahun Baharu Cina di pejabatnya, semalam.

Sementara itu, Chang Khim menasihatkan Parti Pribumi Bersatu Selangor (PPBM) supaya mengamalkan prinsip bertolak-ansur berhubung isu pembahagian kerusi.

“Biasalah orang baru memang macam itu, sentiasa mahu tunjuk taring, namun saya yakin ia hanya permulaan bagi parti itu.

“Tiba masanya nanti, mereka akan terima keputusan pucuk pimpinan yang akan mengambil kira kepentingan semua parti komponen lain dalam pembahagian kerusi,” katanya.

Terdahulu, PPBM bertegas untuk bertanding di 12 kerusi DUN yang dimenangi Umno, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu walaupun ia mendapat bantahan daripada KEADILAN.


Pengarang :