OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 12 FEB: Kementerian Kesihatan diminta memberi perjelasan berhubung pembatalan subsidi untuk caj rawatan dialisis di hospital awam kepada orang ramai khususnya Orang Kelainan Upaya (OKU).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Ng Tien Chee, berkata menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, harus memberi penjelasan berhubung perkara itu bagi mengelak kekeliruan awam.
Ini kerana, katanya, kementerian menerima kenaikan peruntukan 9.5 peratus atau RM1.7 bilion dari RM26.58 bilion ke RM27 bilion tahun ini.
“Ini berikutan pekeliling daripada sebuah hospital memaklumkan tatacara perlaksanaan ketetapan kadar caj dialisis dan unit nefrologi telah dipinda dengan pembayaran dikenakan bagi semua kategori pesakit sama ada pesakit dalam atau luar kecuali pegawai perkhidmatan awam masih berkhidmat.
“Sebelum ini, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pemegang kad OKU adalah diberi pengecualian bayaran bagi kategori berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, antara lain mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 bilion bagi bekalan ubat-ubatan dan RM1.6 bilion untuk barangan “consumable” serta sokongan perubatan.
Bagaimanapun, katanya, dengan kenyataan pekeliling itu ia amat bercanggah.
“Kerajaan sepatutnya membantu meringankan beban rakyat tetapi kini apa yang berlaku adakah sebaliknya.
“Mana RM42 bilion dikutip melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)?
“Subramaniam didesak memandang serius perkara ini dan memperbetulkan keadaan dengan serta merta agar rakyat tidak menderita,” katanya.
Tien Chee berkata demikian mengenai aduan seorang pesakit OKU 29 tahun tidak diberikan pengecualian caj rawatan ‘plasmapheresis + variants’ bernilai RM1,500 setiap sesi di sebuah hospital universiti mulai 1 Februari lalu.
Katanya, pesakit terbabit perlu menjalani sekali rawatan seminggu dan ia adalah beban sangat berat.
=EZY=