BERITA UTAMASELANGOR

Penantian 980 penduduk selama 20 tahun berakhir

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 11 FEB: Kesungguhan serta azam tinggi Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyelesaikan masalah rakyat membuahkan hasil apabila isu projek perumahan terbengkalai berlarutan selama 20 tahun berakhir.

Mohamed Azmin berkata, hal ini berikutan Kerajaan Negeri berjaya membantu 980 peneroka terbabit memperolehi pampasan tunai berjumlah RM180,000 dan rumah teres bernilai RM250,000 setiap seorang bagi menggantikan tanah dan rumah kediaman yang diserahkan kepada pemaju pada 1998.

“Kita sedia maklum 20 tahun lalu tuan-tuan dijanjikan untuk memiliki sebuah rumah RM180,000 dan menerima pampasan tunai RM180,000 tetapi selepas 18 tahun Kerajaan Negeri ketika itu tak peduli langsung, mereka berpihak kepada pemaju, bukan rakyat yang susah, bukan rakyat yang memerlukan bantuan dan sokongannya.

“18 tahun menunggu tanpa penyelesaian tetapi selepas saya diberi tanggungjawab iaitu dalam tahun 2014, dalam tempoh dua tahun, 2016 saya dan pimpinan Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan masalah tuan-tuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pemilikan Rumah Antara Peserta Dengan Pemaju, Paragon Pinnacle Sdn Bhd di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Jelasnya, bayaran pampasan tunai sudah pun dijelaskan sepenuhnya kepada peserta pada 2016 lalu.

Katanya, walaupun perjanjian asal menjanjikan pemilikan kediaman bernilai RM180,000 namun 980 peserta terbabit diberikan rumah teres bernilai RM250,000.

“Dahulu tuan-tuan dijanjikan rumah bernilai RM180,000 tetapi hari ini pemaju membangunkan rumah tuan-tuan bernilai RM250,000 dan kalau kita lihat harga pasaran semasa rumah ini bernilai lebih RM400,000,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menasihati supaya penduduk tidak menjual rumah yang dijangka siap pada 2020 itu memandangkan harga hartanah di Selangor semakin meningkat tinggi.

=EZY=


Pengarang :