BERITA UTAMAEKONOMISELANGOR

Pencapaian hebat, Visi Selangor 2025 direalisasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 FEB: Selangor berada pada landasan tepat untuk muncul sebagai Smart State sekaligus terus komited menjadi perhatian pemain industri ekoran kejayaan pelaburan terkumpul sejak 1987 hingga 2016 sebanyak RM185 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Presiden PT Siemens Indonesia, Datuk Prakash Chandran berkata, pencapaian diperolehi Selangor ketika ini turut melonjakkan negeri itu sebagai negeri tertinggi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM251.6 bilion atau 22.7 peratus dari KDNK Malaysia.

Katanya, fakta itu menunjukkan Selangor menjadi ‘role model’ menerusi inovasi baru bakal dicipta dengan lebih kreatif, peningkatan hubungan dan peningkatan jangka masa panjang dalam ‘sustainability’ serta kesejahteraan rakyatnya.

“Pada 2010, seramai 50 peratus penduduk di seluruh dunia berhijrah ke bandar dan jumlah ini meningkat kepada 3.5 bilion dan ia dijangka terus meningkat kepada 4.7 bilion menjelang 2030.

“Manakala, 50 peratus dari KDNK dunia pula dihasilkan di bandar dengan populasi melebihi 750,000.

“Jadi di mana pencapaian Selangor dan ke mana hala tuju Selangor? Dengan jumlah KDNK tinggi, 40,000 graduan dihasilkan setiap tahun dengan bakat digilap, kadar perbandaran sebanyak 91.4 peratus dan penduduknya mencecah 6 juta serta mempunyai 1,380 syarikat MSC di negeri ini, pencapaian Selangor adalah sangat hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Forum Selangor Synergies 2: Emerging in Selangor, di Hotel Saujana, baru-baru ini.

Pada masa sama, Prakash turut berkongsi tiga perkara utama dalam menuju usaha itu antaranya pembangunan infrastruktur, kecekapan tenaga dan digitaslisasi.

“Tiga perkara itu menjurus kepada bidang utama bagi kemajuan teknologi untuk memajukan sesebuah negeri.

“Selangor juga boleh mendorong mewujudkan digitalisasi yang berjaya menerusi keyakinan ‘stakeholders’ dan penilaian pulangan atas pelaburan (ROI),” katanya.

Beliau turut mahu rakyat di negeri ini dapat mengubah minda jauh ke hadapan bagi merealisasikan visi Selangor 2025 itu.

=EZY=

 


Pengarang :