BERITA UTAMASELANGOR

Peneroka Ijok perlu bangkit dan tolak BN Kuala Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, mahu peneroka tanah Ijok bangkit dan menolak kepimpinan Barisan Nasional (BN) Kuala Selangor yang tidak bertanggungjawab serta berpihak kepada pemaju dalam isu penyelesaian tanah, di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, hal itu terbukti apabila parti berkenaan tidak mahu masalah peneroka terbabit diselesaikan, bahkan BN bangkit dan menyerang untuk menghalang penyelesaian itu dilaksanakan apabila Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan masalah terbabit.

“Hari ni, terbukti Umno-BN tidak mahu masalah peneroka diselesaikan. Saya mencabar Ahli Parlimen Kuala Selangor.

“Apa yang beliau lakukan untuk mewakili peneroka Kuala Selangor? Maka, peneroka bangkit menolak pemimpin seperti ini yang lebih berpihak kepada pemaju dan tidak bertanggungjawab.

“Ini menyerlahkan perwatakan pemimpin Umno yang lebih suka melihat peneroka menderita berpuluh tahun,” katanya selepas Majlis Pelancaran Skim Rawatan Jantung, di Institusi Jantung Negara, di sini, hari ini.

Beliau turut menyifatkan tindakan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai tidak bertanggungjawab.

“Merampas tanah bukan penyelesaian. Apa yang dilakukan Abdul Khalid adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana tidak membantu menyelesaikan masalah peneroka, sedangkan mereka menggunakan titik peluh membangun dan menyuburkan tanah.

“Apabila Abdul khalid mengambil alih pun, beliau sendiri tidak mampu menyelesaikan masalah legasi yang berlarutan hampir 20 tahun,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudah menjalankan siasatan, bermula tahun lalu.

“Kita bersedia memberi maklumat tambahan atau kerjasama diperlukan supaya kebenaran akan terserlah. Tanggungjawab Kerajaan Negeri adalah untuk membantu menyelesaikan masalah peneroka bukan berpihak kepada pemaju yang sekadar mencari untung.

“Peneroka sendiri sudah memberi kenyataan terbuka kepada media bagaimana mereka merasa pentabiran Kerajaan Negeri hari ini mengambil tanggungjawab untuk mengembalikan hak sebagai peneroka,” katanya.

 


Pengarang :