SELANGOR

Peniaga angkuh, 8 premis disita

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 FEB: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) memberi amaran keras kepada peniaga supaya tidak meletakkan kerusi dan meja di petak parkir.

Timbalan Yang Dipertua MDKL, Mohd Yasin Alwi mengingatkan semua peniaga di daerah itu agar mematuhi syarat dan peraturan seperti ditetapkan.

“Orang ramai juga disaran agar tidak duduk di kerusi meja sekiranya kerusi dan meja diletakkan di petak letak kenderaan.

“Aktiviti itu boleh mengundang padah buat pengunjung yang sedang menikmati makanan di tempat yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.

Terbaru, MDKL menyita peralatan seperti 67 meja, 238 kerusi, enam tong gas dan tiga tong ikan membabitkan lapan buah premis perniagaan.

Peniaga turut dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 46 (1)(d), Akta 133 yang boleh
dikenakan tindakan kompaun maksimum RM500.

Sekiranya kesalahan sama berulang, peniaga boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM1,000.

Dalam operasi sama, Mohd Yasin berkata, MDKL turut mengeluarkan dua Notis Kesalahan terhadap peniaga yang menjalankan perniagaan menjual makanan segera ditempat tidak dibenarkan.

“Situasi ini dilihat mampu memberikan kesan negatif kepada MDKL jika perkara sebegini tidak diambil tindakan dan peniaga yang terlibat tetap bermaharajalela menjalankan perniagaan.

“Ia jelas melanggar peraturan dan syarat ditetapkan sehingga terdapat beberapa peniaga yang menyalahkan MDKL yang menyita peralatan perniagaan mereka,” katanya.


Pengarang :