EKONOMISELANGOR

Penjenamaan semula YES kepada IKTISASS ke arah Smart Factory 4.0

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 FEB: Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) melakukan penjenamaan semula Youth Enhancement Strategy Selangor (YES) kepada Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) ke arah Smart Factory 4.0.

Pengurus Industri SHRDC, Izham Zakaria berkata, program YES telah bermula sejak 2015 namun pihaknya melakukan penjenamaan semula kerana hasrat ingin membawa masuk teknologi ‘smart factory’ di Selangor.

“Pelaksanaan IKTISASS menumpukan kepada kepada ‘high level’TVET, sejajar dengan visi memberdayakan lulusan TVET ke tahap lebih tinggi.

“Smart Factory ini akan mendapat kerjasama pakar dari Switzerland melalui kursus jangka panjang dan pendek yang ditawarkan,” katanya kepada SelangorKini.

Izham berkata, IKTISASS memberi peluang kepada anak muda lepasan SPM yang tidak menyambungkan pelajaran dan pelajar lepasan diploma dan ijazah yang masih menganggur.

“Seperti kita tahu belia di negara ini sudah tidak berminat bekerja di kilang, jadi dengan inisiatif Smart Factory Selangor ini kita akan mewujudkan satu pekerjaan yang lebih menarik bagi industri perkilangan dengan penggunaan ‘smart apps, smart technology’ akan digunakan pakai bagi menggantikan pekerja buruh.

“Disamping itu kita juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya.

SHRDC merupakan sebuah pusat latihan melahirkan tenaga yang diperlukan mengikut kapasiti industri disamping membantu belia mendapat pekerjaan yang sudah sedia menanti.

=EZY=


Pengarang :