NASIONAL

Penunggang dan pembonceng motosikal catat kematian tertinggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 FEB: Ops Selamat 12 sempena perayaan Tahun Baharu Cina menyaksikan penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan jumlah kematian tertinggi.

Dalam tempoh enam hari ops itu dijalankan, ia mencatatkan 61 angka korban.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, ia menunjukkan peningkatan kadar kematian tiga kes atau lima peratus berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Katanya, pengguna kereta pula mencatat 14 kematian, pejalan kaki pula dua kematian, pengguna basikal (1), van (2), bas (1), lori (3) dan lain-lain tujuh kematian.

“Daripada jumlah 91 kes kemalangan maut dalam tempoh enam hari ini, penunggang motosikal masih menjadi penyumbang utama iaitu 61 daripada 91 kes maut,” katanya.

Ops Selamat 12 adalah kempen keselamatan selama dua minggu yang bermula 9 Februari sehingga 23 Februari ini mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’.

Untuk rekod, dalam tempoh sama, kemalangan mencatatkan penurunan 554 kes iaitu 9,466 berbanding 10,020 kes bagi tempoh sama Ops Selamat 10, pada tahun lalu.

Kes kemalangan maut juga menurun dua kes berbanding Ops Selamat 10 iaitu 89 kes pada Ops Selamat kali ini berbanding 91 kes bagi tempoh sama, tahun lalu.

Manakala, jumlah kematian mencatat penurunan tujuh kes berbanding Ops Selamat 10 iaitu 91 kes pada Ops Selamat kali ini berbanding 98 kes bagi tempoh sama lalu.

 

 

 


Pengarang :