SELANGOR

Penyerahan bantuan bencana hawar daun bakteria selesai sepenuhnya

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI BESAR, 8 FEB: Kerajaan Negeri terus membela nasib petani yang berhadapan bencana hawar daun bakteria (BLB) dengan menyalurkan peruntukan RM769,920 membabitkan 802 lot sawah, di Mukim Pancang Bedena, Sabak Bernam.

Penyerahan bantuan kepada 884 penerima disempurnakan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, sambil disaksikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Sallehin Mukhyi dan Pegawai Pertanian Daerah Sabak Bernam, Aini Waznati Lasuan.

Bercakap pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada pesawah Bencana Hawar Daun Bakteria (BLB), Mukim Pancang Bedena, Sabak Bernam di Dewan Seri Bernam, Zaidy berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM8.54 juta dengan pemberian RM960 satu lot membabitkan 8,953 pesawah.

“Pada masa ini tiada racun kimia mengawal serangan bakteria BLB. Petani diingatkan supaya melaksanakan amalan pertanian baik bagi mengelakkan ia berulang. Guna benih padi sah dan baja seperti yang disyorkan Jabatan Pertanian,” katanya.

Katanya, bencana BLB yang berlaku pada musim 2/2016 itu menjejaskan pendapatan pesawah sehingga 60 peratus.

Difahamkan, setakat ini pesawah sekadar memperoleh hasil sekitar lima tan bagi satu lot, namun ia tidak mencukupi.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga menyalurkan bantuan berbentuk baja dan racun yang sudah diserahkan kepada pesawah dengan jumlah keseluruhan RM980,000.

Pada masa sama, pesawah diingatkan supaya mendaftar di bawah Skim Takaful Pesawah Padi Negeri Selangor yang memperuntukkan RM3.3 juta bagi 10,000 pesawah sebelum dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.


Pengarang :