PBTSELANGOR

Perkasa Jabatan Undang-Undang, MPK tubuh Unit Litigasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mewujudkan Unit Litigasi yang dipantau secara terus oleh Yang DiPertuanya dalam usaha memperkasakan Jabatan Undang-Undang MPK, sedia ada.

Yang DiPertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, unit baru itu akan diketuai oleh Zulina Yahya dengan sokongan tiga pegawai undang-undang lain.

Katanya, unit terbabit akan mengambil alih pengurusan dan pentadbiran antaranya Unit Sivil, Unit Cukai Taksiran, Unit Trafik dan Unit Bukan Trafik.

“Jawatankuasa Pihak Berkuasa Melantik dan Pembangunan Modal Insan bersetuju pada 18 Januari lalu untuk menubuhkan unit ini dengan tujuan untuk memperkasakan Jabatan Undang-Undang dari sudut pendakwaan dan litigasi.

“Manakala, Unit Pentadbiran, Unit Kontrak dan Perjanjian serta Unit Gubalan dan Penyelidikan Maklumat masih berada di bawah pengurusan dan pentadbiran Pejabat Penasihat Undang-Undang,” katanya.

Yasid berharap dengan penubuhan dan penstrukturan unit-unit itu akan memberikan perkhidmatan cemerlang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit.

“Unit akan diletakkan dan dipantau terus oleh Yang Dipertua berkuatkuasa mulai 1 Februari,” katanya.

=EZY=


Pengarang :