EKONOMISELANGOR

Perkukuh pelaburan negeri, Invest Selangor proaktif hadapi cabaran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 FEB: Komited memperkukuhkan pelaburan negeri, agensi promosi pelaburan, Invest Selangor Berhad (Invest Selangor), optimis mencapai sasaran pelaburan tahun ini walaupun berdepan dengan krisis ekonomi dunia yang mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata Invest Selangor akan mengambil beberapa langkah proaktif dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu ketika ini.

Katanya, ia termasuk meningkatkan hubungan kerjasama dengan pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dewan perniagaan tempatan dan luar negeri serta meningkatkan rombongan perdagangan ke luar negara melalui seminar pelaburan atau mesyuarat meja bulat.

“Invest Selangor juga akan mengeratkan hubungan bersama pihak pelabur yang sedia ada di Selangor untuk meneroka peluang ‘expansion’ atau perkembangan aktiviti perniagaan mereka di Selangor.

“Baru-baru ini terdapat lapan buah syarikat daripada Jepun bersetuju untuk melabur dan menambah pelaburan mereka di Selangor dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.8 bilion,” katanya kepada SelangorKini.

Hasan berkata kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju hartanah juga akan diwujudkan bagi menyediakan kawasan perindustrian dan kemudahan infrastruktur yang sempurna melalui inisiatif ‘Industrial park guidelines’.

Katanya, dengan adanya kemudahan yang lengkap, ia akan memudahkan pelabur asing melaksanakan projek pelaburan mereka di sini.

“Kita turut mahu bekerjasama dengan pihak institusi pengajian tinggi dan kolej tempatan di Selangor untuk memajukan bidang teknologi dan kemahiran tenaga pekerja bagi penyediaan latihan kepakaran serta kecekapan mereka,” katanya.

Hasan turut tidak menolak, persaingan sengit berlaku daripada negeri lain dan luar negara dari segi teknologi, ekosistem ‘venture capital’ dan bakat di Singapura serta kos sara hidup yang lebih rendah di Thailand dan Vietnam.

=EZY=


Pengarang :