SELANGOR

Persempadanan semula: Lagi bantahan dikemukakan Selangor kepada SPR

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 14 FEB: Sebanyak tujuh lagi bantahan dikemukakan Selangor terhadap Syor Kedua Kajian Persempadan Negeri, di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor, hari ini.

Bantahan daripada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu, diserahkan melalui Setiausaha Politiknya Shuhaimi Shafiei.

Shuhaimi berkata, antara bantahan yang ditekankan adalah menggesa pihak SPR mengekalkan bantahan terhadap syor dicadangkan bagi bahagian pilihan raya yang diterbitkan pada 15 September 2016 tentang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Kami juga membantah sebarang cadangan dikemukakan mana-mana pihak lain untuk mengembalikan syor pertama bertarikh 15 September 2016 dalam proses representasi syor kedua bertarikh 15 Januari 2018.

“Ia kerana notis bertarikh 15 September 2016 (syor pertama), bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, bertentangan dengan undang-undang serta gagal memberi pendedahan dan maklumat penuh yang lengkap,” katanya ketika ditemui media selepas menyerahkan bantahan berkenaan.

Beliau berkata, syor-syor bertarikh 15 Januari 2018 sempadan cadangan persempadanan semula juga tidiak mengikut Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan yang tidak diambil kira sebelum diputuskan untuk membuat syor-syor di bawah Fasal (2) Perkara 113.

“Selain itu, terdapat masa tidak mencukup bagi kami menyediakan bantahan kerana kurang maklumat dan kesukaran dihadapi semasa melayari laman sesawang SPR.

“Terdapat juga keadilan hak asasi manusia dalam proses demokrasi yang sepatutnya adil dan saksama oleh pihak SPR kepada semua pengundi berdaftar sebagai pemilih sah dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) SPR,” katanya.

Katanya, sebarang isu penting lain yang mungkin timbul sebelum, pada atau selepas siasatan tempatan terbabit,” katanya.

=EZY=


Pengarang :