SELANGORSUKANKINI

Pertandingan boling antara agensi agama dan media perkukuh jalinan ukhwah

OLEH AFIX REDZUAN

SETIA ALAM, 4 FEB: Pertandingan Bowling Antara Media 2018 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama Agensi Agama berlangsung meriah dengan penyertaan 100 peserta yang dibahagikan kepada 25 kumpulan.

Ketua Divisyen Operasi Agihan LZS, Abdul Basith Hamid berkata, agensi agama Islam Negeri Selangor mahu menjalinkan hubungan baik bersama petugas media dan agensi media sosial yang kini dilihat menjauh dan terpisah.

“Jika ada permasalahan agama di Negeri Selangor, media dan blogger dapat memberikan tumpuan untuk merujuk kepada pihak sepatutnya sebelum mempamerkan isu tersebut kepada orang awam,” katanya.

Kejohanan yang berlangsung di Wangsa Bowl, Setia City Mall menyaksikan pasukan Berita Harian 2 menjadi juara keseluruhan kejohanan dengan kutipan 1,914 jatuhan pin.

RTM Selamat Pagi Malaysia dan Berita TV RTM masing-masing mengungguli tempat kedua dan ketiga dengan kutipan 1,881 serta 1,848 jatuhan pin.

Bagi kategori Jatuhan Pin Terbanyak Lelaki diungguli Mohd Affandi Husni Fendi, daripada pasukan Puchong Insider dengan kutipan 573 pin.

Nur Washifaiha Radzuan daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor pula menguasai kategori jatuhan pin terbanyak wanita dengan 502 markah.

Hadiah disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim sambil disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Salehan Yatim.

=EZY=

 


Pengarang :