SELANGOR

Pertandingan Kaligrafi Cina inisiatif kekal tradisi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 FEB: Pertandingan Kaligrafi Cina anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 200 peserta, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, pertandingan yang memasuki edisi ke-9 itu bertujuan meningkatkan taraf kaligrafi cina dalam kalangan anak muda khususnya.

“Ia juga sudah menjadi satu tradisi masyarakat cina menghias rumah dengan tulisan kaligrafi sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

“Selain mengekalkan tradisi, program itu juga bertujuan memupuk hubungan masyarakat tempatan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Ean berkata, pertandingan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Seri Kembangan itu disertai pelbagai peringkat usia seawal umur tujuh hingga 60 tahun.

“Pertandinga dibuka kepada tiga kategori iaitu kategori kumpulan terbuka, kumpulan sekolah rendah dan kumpulan sekolah menengah.

“Program ini akan diteruskan untuk tahun akan datang kerana Kaligrafi merupakan salah satu kesenian yang paling tinggi dan diberi penghormatan oleh masyarakat Cina,” katanya.


Pengarang :