NASIONAL

Pesawat AirAsia guna Skywise Airbus

SINGAPURA, 9 FEB: Kumpulan pesawat A320 dan A330 AirAsia bakal diperkasakan dengan sistem perkhidmatan Skywise Predictive Maintenance, kata Airbus, hari ini.

Pengesahan itu disahkan AirAsia dan ia merangkumi kumpulan pesawat AirAsia juga AirAsia X untuk semua anak syarikatnya di Malaysia, Thailand, India, Jepun, Filipina serta Indonesia.

Ketika ini, AirAsia mempunyai kira-kira 230 pesawat sedang digunakan dan kira-kira 470 pesanan pesawat masih tertangguh termasuk 66 A330neos serta lebih 400 A320/A321neos masih belum diserahkan yang kesemuanya mempunyai keupayaan sistem Skywise.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya berharap dapat memanfaatkan kuasa analisis data raya dan teknologi ramalan Skywise Airbus dalam usaha mendapatkan kelebihan bagi keseluruhan kumpulan pesawat A320 serta A330 Kumpulan AirAsia.

“Skywise akan membolehkan kami mencapai wawasan baharu dalam operasi pesawat, mengoptimumkan penyenggaraan, kejuruteraan dan operasi penerbangan serta mengurangkan kos,” katanya lapor Berita Harian.

Perbincangan akhir berhubung perjanjian Airbus Skywise dengan Kumpulan AirAsia dilakukan di Pertunjukan Udara Singapura, hari ini.

Sebahagian daripada kontrak lima tahun adalah keseluruhan kumpulan pesawat AirAsia akan dilengkapkan dengan *FOMAX iaitu sebuah modul baharu merakam data juga transmisi dalam penerbangan dan ia komponen utama perkhidmatan ‘Skywise Predictive Maintenance Airbus’.


Pengarang :