SELANGOR

PFAM tawar kerjasama bersama UNISEL

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 FEB: Universiti Selangor (UNISEL) menawarkan kerjasama penganjuran Kursus Kejurulatihan AFC Lesen ‘C’ bersama Professional Footballer Association of Malaysia (PFAM).

Pengarah Komunikasi Korporat, Hasril Abu Hassan berkata hasrat itu dizahirkan pada sesi kunjungan hormat deligasi PFAM pada 14 Februari lalu di Kampus Shah Alam.

“Kunjungan yang berlangsung di Kampus Shah Alam ini membincangkan beberapa perkara antaranya kerjasama penganjuran Kursus Kejurulatihan AFC Lesen ‘C’.

“Selain itu turut dicadangkan penawaran bersama Program Diploma Pengurusan Industri Sukan (Football Management) dan UNISEL Athlete Academic Track kepada ahli-ahli persatuan,” katanya dalam kenyataan.

Delegasi PFAM telah diketuai Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya, Hairuddin Omar’ Naib Presiden, Razman Roslan dan Rudie Ramli yang merupakan exco PFAM.

Mengulas mengenai kunjungan hormat itu, Prof. Dato’ Dr. Mohammed Redzuan Othman, selaku Naib Canselor UNISEL berharap pertemuan bersama PFAM bakal membawa lembaran baharu kesepakatan hubungan positif melalui matlamat yang dilontarkan.

“Hasil kunjungan tersebut bakal merubah landskap pembangunan bola sepak di kalangan penuntut UNISEL selepas ini,” katanya.


Pengarang :