SUKANKINI

Piala FA 2018: Axis-02 FC tekad teruskan cabaran

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 FEB: Kejayaan layak ke pusingan kedua Piala FA 2018, terus membakar semangat Axis-02 FC untuk mempamerkan aksi cemerlang dalam kejohanan berkenaan.

Pengurusnya, Shaifulnizam Saleh berkata, pasukannya akan lebih bersedia untuk perlawanan itu kerana bakal berdepan pasukan Liga Perdana, Kuanta FA, pada 4 Mac ini.

“Kekangan komitmen lain dihadapi pemain sedikit sebanyak turut menyulitkan persiapan, namun kita cuba memberikan persembahan terbaik ketika hari perlawanan.

“Banyak impak positif dapat dilihat hasil bimbingan jurulatih, Syazwan Wong Abdullah,” katanya kepada SelangorKini.

Pada pusingan pertama, Axis-02 FC menundukkan SRCC Kuala Kangsar FC 4 – 1, pada 13 Februari lalu, melalui gol Adli Zulgafi (m5), Aidil Shahril (m12), Haedar Abd Halim (m53) dan Muhammad Farhan (m90).

Kelab dari Petaling Jaya itu adalah salah satu kelab dari liga komuniti yang layak ke saingan Piala FA musim ini atas tiket juara Selangor Champions League (SCL) 2017.

Mengulas lanjut, Shalfulnizam berkata, persiapan kelab itu juga banyak dibantu penganjur SCL, Komuniti Belia Selangor (SAY).

“Bagi memenuhi keperluan perlawanan di peringkat tertinggi (Piala FA), pemain dikerah melakukan latihan bersama dua atau tiga kali seminggu serta pengurusan mengatur beberapa perlawanan persahabatan,” katanya.


Pengarang :