OLEH AFIX REDZUAN
LONDON, 8 FEB: Tottenham Hotspur mudah mengetepikan cabaran Newport County apabila menang 2-0 dalam perlawanan ulangan Piala FA Inggeris, awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan awal di gelanggang Newport, namun Spurs memanfaatkan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri apabila di hadapan menerusi jaringan sendiri Dan Butler, pada minit ke-26.
Spurs yang merehatkan beberapa pemain tonggak seperti Harry Kane, Christian Eriksen tetap mempamerkan aksi cemerlang untuk menambah jaringan.
Hasilnya gol kedua menjelma pada minit ke-34 menerusi penyudahan Erik Lamela yang menerima umpanan Heung-Min Son bagi kedudukan babak pertama 2-0.
Tiada sebarang tambahan jaringan direkodkan pada babak kedua dan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Spurs akan bertemu Rochdale dalam peringkat seterusnya Piala FA Inggeris.