SUKANKINI

Piala FA Inggeris: Wigan punah impian Manchester City

OLEH HAFIZAN TAIB

WIGAN, 20 FEB: Manchester City tersingkir daripada saingan Piala FA Inggeris apabila dikalahkan Wigan Athletic 1 – 0 dalam perlawanan pusingan kelima di Stadium DW, di sini.

Gol tuan rumah dijaringkan Will Grigg pada minit ke-79 selepas bola terlepas daripada kawalan Kyle Walker dengan satu tendangan mengelirukan Claudio Bravo.

Dalam perlawanan penuh kontroversi itu, skuad Pep Guardiola menghadapi kesukaran berdepan cabaran tuan rumah termasuk penyokong apabila pemainnya, Fabian Delph, dibuang padang pada masa tambahan babak pertama.

Ia berpunca dengan tindakan Delph menjatuhkan Max Power dan keputusan pengadil, Anthony Taylor, memberikan kad merah berbanding kad kuning pada awalnya menimbulkan kemarahan pemain City.

Insiden itu menyebabkan perlawanan bagaikan pertemuan ulangan final Piala FA 2013 agak terjejas dan dicemari penyokong Wigan memasuki padang pada satu ketika di samping perbalahan di antara Guardiola dan pengurus tuan rumah, Paul Cook.

Kemenangan melayakkan Wigan ke suku akhir dan meranapkan impian Guardiola memenangi empat kejuaraan bersama City.

=EZY=


Pengarang :