GLOBALSUKANKINI

Piala FA: Southampton dan Brighton mara, Sheffield ikat Swansea

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 18 FEB: Southampton dan Brighton & Hove Albion tidak berdepan masalah menempah slot ke suku akhir Piala FA selepas mudah menewaskan lawan masing-masing, semalam.

Southampton yang berdepan satu lagi kelab Liga Perdana Inggeris, West Bromwich Albion di gelanggang lawan menang mudah, 2-1.

Wesley Hoedt membuka tirai jaringan buat Southampton, pada minit ke-11 hasil umpanan Ward-Prowse.

Masuk babak kedua, Dusan Tadic menjadikan kedudukan 2-0, pada minit ke-56 sebelum pasukan tuan rumah merapatkan defisit jaringan dua minit kemudian menerusi Rondon.

Sementara Brighton mencatatkan kemenangan selesa 3-1 menewaskan Coventry City, di laman sendiri.

Tuan rumah mendahului 2-0, pada babak pertama hasil jaringan Jurgen Locadia, pada minit ke-15 dan Goldson, pada minit ke-34.

Ulloa melebarkan jurang kepada 3-0, pada minit ke-66 sebelum Clarke-Harris melakar gol saguhati pelawat, pada minit ke-77.

Dalam satu lagi aksi Swansea City terpaksa menempuh perlawanan ulangan apabila diikat tanpa jaringan ketika bertemu Sheffield Wednesday.

Terdahulu, Leicester City dan Chelsea meneruskan kemaraan selepas menewaskan lawan masing-masing, di gelanggang sendiri.


Pengarang :