SUKANKINI

PKNS FC sasar julang satu piala musim 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 FEB: PKNS FC mensasarkan menjulang satu kejuaraan musim ini dan yakin ia mampu direalisasikan berdasarkan barisan pemain sedia ada.

Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, pihaknya realistik dengan sasaran itu berbekalkan pemain serba lengkap seperti Mahali Jasuli dan Rafael Ramazotti yang melengkapkan pasukan sebelum saingan bermula 3 Februari ini.

“Untuk bersaing dengan pasukan lain, kami perlu memantapkan pasukan dengan pemain hebat serta pemain muda bertenaga.

“Dengan pengalaman luas Ketua Jurulatih, Datuk K Rajagobal, saya percaya PKNS FC mampu memenangi satu piala.

“Jika mendapat slot AFC, itu adalah bonus tambahan buat pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi PKNS FC 2018 di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS hari ini.

Untuk musim 2018, The Red Ants membariskan 27 orang pemain dan Mohd Safee Mohd Sali bertindak sebagai ketua pasukan.

PKNS FC juga terus menerima penajaan daripada Kappa dengan menampilkan warna oren untuk jersi pertama, biru kedua dan merah kuning sebagai alternatif.

Pengurusan PKNS FC juga menukar slogan lama kepada ‘Fight All, Fear None’ dan ia menjadi azimat dan pembakar semangat kepada para pemain.

=EZY=


Pengarang :