SUKANKINI

PKNS FC sedia beraksi Piala Sultan Selangor jika diberi peluang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 FEB: PKNS FC sedia untuk beraksi dalam Piala Sultan Selangor yang dijadualkan Ogos ini sekiranya diberikan peluang mewakili Negeri Selangor bagi edisi ke-17.

Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana menjadikan PKNS FC sebagai pilihan negeri bagi Piala Sultan Selangor 2017 di Singapura.

“Mewakili Selangor adalah penghargaan buat PKNS FC. Kami akan memastikan Piala Sultan Selangor 2018 akan menjadi milik Selangor jika diberi peluang sekali lagi pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi sidang media selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi PKNS FC 2018 di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS hari ini.

Piala Sultan Selangor edisi ke-17 bakal berlangsung 25 Ogos ini di Stadium Shah Alam dengan pertembungan Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura selain meneruskan pertandingan Piala Pilihan dan Veteran, Piala Cabaran Sekolah-Sekolah yang diperkenal julung kalinya pada edisi lalu.

Perlawanan akan bermula dengan aksi Veteran pada jam 8 malam, diikuti perlawanan utama pada jam 9 malam dan jam 5 petang pula membabitkan aksi Piala Cabaran Sekolah-Sekolah.

Dalam edisi ke-16 yang berlangsung 6 Mei lalu, skuad Veteran Selangor dan Veteran Singapura dinobatkan sebagai juara bersama selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi di Stadium Nasional, Singapura.

Bagaimanapun, Pilihan Singapura berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Selangor selepas menewaskan Pilihan Selangor 3-2, manakala Sekolah Sukan Singapura membawa pulang Piala Cabaran Sekolah-Sekolah selepas menewaskan Gabungan Sekolah Selangor 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

=EZY=


Pengarang :