SUKANKINI

PKNS FC sokong FAM jayakan Liga M

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 20 FEB: PKNS FC sentiasa komited dan menyokong segala usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memastikan Liga Malaysia (Liga M) dijalankan secara profesional.

Sehubungan itu, Presidennya, Siti Zubaidah Abd Jabar, berkata pihaknya menyambut baik sebarang pembaharuan direncanakan dan menghormati Perkongsian Terhad Liabiliti Bolasepak Malaysia (FMLLP) yang mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Untuk makluman, PKNS FC adalah pasukan pertama mengesahkan penyertaan Liga Super 2018 dan sebelum ini tidak pernah gagal dalam mematuhi peraturan ditetapkan.

“Oleh itu, kita mengambil iktibar dari isu ini dan komited untuk meningkatkan kompetensi pengurusan kelab di masa akan datang selaras dengan aspirasi FAM untuk mentadbir kelab secara Profesional,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, PKNS FC menghargai kerjasama FMLLP bagi menyelesaikan perkara berkaitan pendaftaran pasukan dan telah mengemukakan dokumen berkaitan kepada FMLLP pada 19 Februari lalu.

“Dengan rendah hati, kita memohon maaf di atas kesulitan yang timbul kepada pentadbir bola sepak Malaysia dan sentiasa menyokong usaha Presiden FAM, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk memastikan Liga M berjalan secara profesional,” katanya.

Siti Zubaidah mengesahkan PKNS FC menerima emel daripada FMLLP, 15 Februari lalu, berhbung pengesahan pendaftaran pasukan membabitkan borang seperti Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Perkeso, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan denda.

Baru-baru ini, FMLLP memaklumkan PKNS FC bersama Selangor adalah dua pasukan dari Liga Super yang melengkapkan pendaftaran selepas tarikh ditetapkan selain MIFA dan UKM FC dari Liga Perdana.

Dua pasukan lain dari Liga Super, Kelanta dan Kuala Lumpur gagal melengkapkan dokumen pendaftaran bersama empat pasukan Liga Perdana, Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan PDRM.

FMLLP melanjutkan tarikh penghantaran dokumen sebanyak dua kali selepas tarikh asal pada 29 Disember 2017 iaitu pada 14 Januari dan kemudian 3 Februari lalu.

=EZY=


Pengarang :