SASTERA

Plagiat: Murah maruah penulis bangkai

Oleh Hafizol Hakami

(1)

TERLALU mengagungkan pengiktirafan karya, itulah masalah terbesar segelintir penulis muda. Sebilangan mereka mengambil jalan pintas untuk memperoleh pengiktirafan dengan sewenang-wenangnya mencuri atau memplagiat karya orang lain hingga menggadai prinsip keluhuran dalam penulisan. Ada antara mereka melihat bahawa kemenangan dalam sayembara dan penyiaran karya dalam media sebagai kejayaan terbesar sesebuah karya.

Paling menggusarkan, ada karya palsu dihantar ke pertandingan demi mendapat pengiktirafan tertinggi. Begitu murah maruah dan nilai sesebuah karya. Sebenarnya, tiada jalan pintas untuk menjadi penulis yang baik. Jauh sekali tiru “sebijik-sebijik” kemudian mewartakannya sebagai karya tulen. Setiap penulis harus mengerti betapa plagiat adalah suatu pengkhianatan dan jenayah terbesar dalam penulisan.

Seseorang penulis perlu punyai daya disiplin dalam pengkaryaan. Apa jua dorongan menulis sama ada sedar ataupun tidak, seseorang penulis harus banyak membaca, menelaah, berbahas, mengembara untuk memancing bauran ilham dan menggarap idea. Bukannya mencuri dan memplagiat karya penulis lain.

Keizzahan sebuah karya bukan terletak pada pengiktirafan dan penghargaan semata-mata, tetapi “kemanisannya” pada liku-ranjau proses penulisan hingga menjadikannya sebuah karya yang baik. Sasterawan Negara A Samad Said sendiri mengakui, beliau mengambil masa lebih dua tahun untuk menyiapkan Cinta Fansuri. Inilah kemanisan yang dikecapi di sebalik penerbitan sesebuah karya.

Dalam penulisan kreatif, mengilhami hasil karya yang sudah tercipta bukan suatu kesalahan terutama dalam memahami falsafah, melukis perwatakan dan merangka konflik; bahkan A Samad Said menjadikan karya The East of Eden dan Di Bawah Lindungan Kaabah sebagai sumbu ilham dan imaginasi. Namun, ia perlulah disingkapi dengan penuh disiplin, halus dan insaf.

Hari ini, walaupun tidak banyak, kita masih boleh berbangga dengan karya-karya baharu yang subur menjalar di media hasil garapan penulis muda. Akan tetapi, apalah ertinya selautan karya sekalipun jika “mata airnya” adalah penipuan, “batu-batu karangnya” adalah korupsi, dan dosa-dosa menjadi “ikan-ikan” dalam lautan sastera. Kerana itu, penulis muda baharu yang mencuri dan memplagiat perlu insaf betapa perbuatan itu hanya menggali kubur sendiri dan menunggu detik ditalkinkan dari dunia penulisan. Tambahan lagi jika karya-karya palsu dilonggok dalam sayembara yang dibarisi penulis jujur, hasil plagiat itu bakal jadi “bangkai” yang membusuk.

(2)

Ketika berita tentang seorang penulis muda yang “kantoi” mempersembah karya palsunya dan menang sayembara anjuran kumpulan penulis di sebuah negeri di timur tanah air dan menular sehari dua ini, saya membacanya dengan penuh kecewa. Saya membaca kedua-dua “sajak curi” dan “sajak asli”, langsung tiada diubah. Semuanya dipetik “sebijik-sebijik”. Kemudian membaca siaran (posting) peribadinya tentang kejayaannya merangkul tempat dalam sayembara tersebut di Facebook, ternyata tidak sedikitpun tercuit rasa bersalah. Malah berbangga seolah-olah ia hasil usahanya sendiri.

Kegusaran saya terlahir atas dua faktor: Pertama, “keikhlasan” segelintir anak muda dalam membaca buku dan material sastera bukan lagi untuk bekalannya belakang hari dalam penulisan tapi sekadar mencedok dan memberi kredit kepada dirinya sendiri. Korupsi “baca dan ciplak” jika tidak diinsafi akan membungkam potensi dan identiti seorang penulis. Entah berapa ramai penulis muda yang “mati” dalam dunia penulisan sebelum sempat mereka mencabar diri mereka sendiri dalam penulisan. Semuanya habis mati kerana ketiadaan prinsip intergriti mereka dalam penulisan. Saya masih percaya ada antara mereka yang benar-benar minat menulis tapi dek gila akan kemasyhuran, pujian dan pengiktirafan telah memabukkan mereka, lantas menjauhkan mereka dari prinsip yang seharusnya berakar umbi dalam diri setiap penulis.

Yang kedua, konflik jurang antara penulis baharu dan penulis senior semakin membundak. Semasa saya dan Johan Radzi, penulis muda dengan antologi cerpen Tinju dan Peluru bersembang soal penulisan, kami ada berbincang hal senioriti yang benar-benar berlaku dalam dunia sastera secara langsung mahupun tidak. Masalah sikap penulis senior yang kurang mahu mengetengahkan penulis muda dan kekakuan penulis muda dalam penulisan adalah antara penyebab krisis kedua-dua “kelompok” ini. Lebih merisaukan, apabila membaca berita ciplak sajak menular tempoh hari adalah; soal percaya dan rasa hormat antara dua generasi penulis ini. Baik penulis senior, mahupun penulis muda, masing-masing punyai gagasan tersendiri. Akan tetapi apabila isu “ciplak” berlaku pada peringkat tinggi seperti gabungan penulis muda negeri, akan ada parut tanggapan kurang enak terhadap potensi penulis baharu. Lebih-lebih lagi, penulis-penulis muda yang baru setahun jagung bertatih dalam penulisan.

(3)

Secara prinsip, apa jua jenis karya yang dikenal pasti diplagiat  harus ditarik balik penganugerahan dan pengiktirafannya. Malah pelakunya perlu dihukum (jika perlu) ataupun setidak-tidaknya teguran keras atas perbuatannya yang mencemar dunia sastera. Tindakan itu penting untuk memastikan perkara memalukan tinta kesusasteraan negara tidak berulang, baik dari tangan pelaku tersebut ataupun orang lain. Penganjur sayembara perlu sentiasa waspada agar karya yang dipertanding “terbang dengan sayap tulen” dan bukan atas keringat orang lain.

Masyarakat penulis perlu sedar Ranjau Sepanjang Jalan lahir dari tangan insan yang benar-benar belajar dari kesusahan, Imam lahir dari pengalaman orang yang merantau, Salina lahir dari tangan anak muda yang berani mencabar diri menulis dari subuh hingga ke subuh, Detik-Detik Cemas lahir dari tangan orang yang betul-betul masak dengan ideologi. Semua karya itu lahir dari penulis yang punyai intergriti dan kesungguhan tinggi. Penulis harus bertatih dari bawah. Penulis usah gilakan kemahsyuran. Jauh sekali “gila” mencuri karya orang lain dan berbangga pula dengan perbuatannya.

Jauh di sudut hati juga, saya berharap masyarakat penulis seperti pembaca, penulis, editor, persatuan penulis, agensi kerajaan berkaitan penerbitan tidak hanya berdiam diri, sebaliknya sama-sama bersuara lantang mengekang penipuan khususnya plagiat.


Pengarang :