NASIONAL

Pos Malaysia kesan kaji selidik palsu

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 FEB: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menafikan terbabit dalam sebuah laman sesawang menggunakan identiti syarikat korporat terbabit yang menawarkan hadiah menarik melalui penyertaan kaji selidik dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Al Ishsal Ishak dalam kenyataan berkata, kakitangan mereka menemui pautan laman sesawang berkenaan iaitu viid.me, semalam.

“Seorang kakitangan memaklumkan berhubung laman sesawang menggunakan identiti Pos Malaysia dalam kaji selidik dengan menawarkan hadiah menarik seperti telefon pintar.

“Kita membuat pemeriksaan terperinci jika ada orang dalam syarikat terbabit dengan kaji selidik berkenaan sebelum disahkan sebagai penipuan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya lapor Berita Harian.

Al Ishsal berkata, pihak terbabit didapati mengemukakan beberapa soalan asas berkaitan Pos Malaysia di dalam kaji selidik berkenaan.

“Pos Malaysia tidak pernah membuat kaji selidik termasuk yang menawarkan pelbagai hadiah seperti dinyatakan dalam laman sesawang itu.

“Kami meminta orang ramai tidak terpedaya dengan penipuan menggunakan identiti Pos Malaysia bagi menarik lebih ramai penyertaan,” katanya.


Pengarang :