BERITA UTAMASELANGOR

Prinsip fastabiqul khairat pastikan pentadbiran negeri telus

OLEH HAFIZAN TAIB

CYBERJAYA: Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip fastabiqul khairat dalam menegakkan pentadbiran telus dan baik demi kemajuan negeri juga rakyat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pendekatan melalui prinsip itu dipraktikkan Kerajaan Negeri seperti mana dinyatakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ketika menbentangkan Belanjawan 2018 negeri pada akhir tahun lalu.

“Prinsip fastabiqul khairat iaitu berlumba-lumba mengerjakan kebaikan, bukan sahaja perlu menjadi prinsip kehidupan bahkan perlu mendasari segala usaha pemerintahan termasuk menganjurkan perdamaian, memperkukuhkan ukhwah dan mengintai muafakat.

“Dalam pentadbiran negeri, tatakelola baik adalah salah satu tonggak kebaikan kerana melaluinya amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negeri dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian ketika mewakili Dato’ Menteri Besar dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran 1439H/2018M peringkat Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata, melalui pendekatan itu diyakini Selangor akan terus makmur dan berada pada landasan mantap dalam menjayakan agenda SmartSelangor.

Berhubung majlis itu, katanya, ia majlis tahunan Kerajaan Negeri sebagai usaha mengembangkan syiar Islam dan menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan dan inspirasi dalam kehidupan termasuk perencanaan dalam dasar pentadbiran negeri.

“Membaca Al-Quran adalah satu tuntutan dan tilawah diadakan bukan sahaja satu ibadah yang menggilap kerohanian tetapi juga satu seni muqaddas yang teragung dan terus segar di kalangan umat Islam.

“Keindahan bacaan Al-Quran itu menjadi tarikan untuk kita sentiasa menghampiri dan menghayati ajarannya yang terkandung didalam kitab suci ini,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.

=EZY=


Pengarang :