SELANGOR

Projek At-Ta’awun perkasa Penolong Amil Kariah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan projek At-Ta’awun bagi membangunkan sistem pengurusan Penolong Amil Kariah (PAK) dengan lebih sistematik dan efisien bagi menyantuni asnaf di Selangor.

Dalam kenyataannya, LZS memaklumkan projek itu dilaksanakan sejak tahun lalu dan kali ini taklimat perlaksanaan projek At-Ta’awun siri 2.0 melibatkan seramai 18 PAK bertempat di Dewan Orkid, Wisma PKPS, baru-baru ini.

“Projek At-Ta’awun siri 2.0 diperluaskan kepada 140 kariah di sembilan daerah bertujuan memberi pendedahan berkenaan peranan PAK di samping meningkatkan profesionalisme mereka dalam mendepani masyarakat sebagai pelanggan utama organisasi.

“Ia juga bagi melahirkan barisan PAK profesional dan kompetan dalam membantu Zakat Selangor mendepani agenda pemerkasaan ummah melalui aktiviti agihan dan pembangunan asnaf yang sistematik, komprehensif serta berkesan,” katanya.

Sehingga kini Zakat Selangor mempunyai seramai 1,613 penolong amil kariah dilantik sebagai pemudahcara antara Zakat Selangor dan masyarakat terutama golongan asnaf fakir dan miskin.


Pengarang :