AGAMASELANGOR

Puncak Niaga sertai Kasihku Zakat Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 FEB: Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) menghulurkan RM1.3 juta bagi membantu asnaf, di bawah program ‘Kasihku Zakat Selangor’ dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan PNHB, Dato’ Nasir Khan Illadad Khan berkata, ia digunakan bagi membina 10 rumah asnaf bernilai RM500,000, dengan tambahan RM100,000 daripada LZS.

Katanya, rumah yang dibina sekitar daerah Kuala Selangor itu dilengkap tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.

“Selain itu, RM500,000 diperuntukkan untuk bantuan perubatan dialisis 21 pesakit dalam kalangan asnaf bagi menampung kos rawatan setahun.

“Baki RM300,000 lagi diperuntukkan bagi asnaf fisabilillah (pendidikan) yang diagihkan kepada 1,000 pelajar fakir miskin dalam bentuk wang saku RM300 setiap seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan mewakili Pengerusi Eksekutif PNHB, Tan Sri Rozali, pada Majlis Penyerahan Bantuan Kasihku Zakat Selangor, di Wisma Rozali.

Pada masa sama, Nasir berkata, PNHB turut membayar zakat perniagaan RM10.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 2016.

Katanya, PNHB turut memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada bayaran zakat dikeluarkan untuk diagihkan kepada asnaf fakir, miskin dan fisabilillah.

“Daripada permohonan itu, kita menerima pengembalian wang zakat perniagaan RM3.9 juta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid mengucapkan terima kasih atas kesudian PNHB menyertai program Kasihku Zakat Selangor.

“LZS menyempurnakan amanah diberikan PNHB. Sukacita dimaklumkan bagi bantuan rumah, LZS sudah melaksanakan proses lantikan kontraktor.

“Setakat ini, 70 peratus proses pembinaan berjaya disiapkan dengan asnaf terbabit akan menyambut Ramadan dan Syawal di rumah baru nanti,” katanya.

 


Pengarang :