SELANGOR

Rakyat nak Azmin kekal pimpin Selangor

OLEH SYAZWANI SUFIAN

GOMBAK, 9 FEB: Kebanyakan rakyat Selangor menginginkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, terus memerintah negeri itu selepas melihat prestasi kewangan dan pentadbiran yang kian cemerlang

Peniaga, Wong Guat Ngoh, 62, berkata, Mohamed Azmin mempunyai ciri pemimpin yang berwibawa dan peduli rakyat.

“Melihat usaha beliau dalam Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sudah cukup membuktikan pentadbiran beliau lebih ke arah menyenangkan rakyatnya dalam membantu terutama ibu tunggal dan golongan yang berpendapatan rendah.

“Saya berharap, beliau akan mentadbir Selangor dan membantu kami tidak kira bangsa atau agama,” katanya kepada SelangorKini di Pasar Seri Gombak, di sini, hari ini.

Katanya, setiap tahun ketika musim perayaan Mohamed Azmin akan turun padang berjumpa dan beramah mesra dengan rakyat, di pasar itu.

Beliau turut gembira menerima pemberian limau dan ang pau sempena Tahun Baru Cina daripada Dato’Menteri Besar itu.

Sementara itu, Pesara, Ang Eng Hooi, 61, berkata beliau sangat berpuas hati dengan kerja Mohamed Azmin dalam mentadbir Selangor.

“Secara peribadi, saya mengagumi pentadbiran Mohamed Azmin. Saya lihat hasil kerjanya juga bersih dan efisien, ” katanya.

Manakala peniaga, Nawier Borhan, 54, berkata sebelum Azmin menjadi Dato’ Menteri Besar lagi beliau seorang yang mesra rakyat.

“Ketika beliau menjadi Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin sering turun padang menyantuni rakyat di kawasannya. Beliau adalah pemimpin yang perlu dijadikan contoh,” katanya.


Pengarang :