SASTERA

Rancangan sulit seorang penulis

Oleh Fadli Zainal Abidin

“BETUL! Saya tak dapat pun e-mel awak tu. Mungkin dah ghaib ke Neverland!” kata editor yang berkaca mata dan bertudung merah jambu sambil tersenyum sinis.

Saya tidak berpuas hati bila editor itu memberitahu bahawa dia tidak menerima cerpen yang saya hantar untuk disiarkan di Majalah Kelabu. Berkali-kali saya menggeleng kepala, bukan berzikir tapi tanda tidak percaya.

“Saya tak mahu hantar cerpen ke majalah awak lagi!” ujar saya dengan nada tegas.

“Tak mahu tak apa. Saya tak rugi pun.” Balas editor itu dengan selamba.

Ishh!

Sebenarnya telah lebih sebulan cerpen saya tidak disiarkan di ruangan sastera Majalah Kelabu. Walhal sehari sebelum cerpen tersebut saya e-mel kepada editor Majalah Kelabu, kami minum kopi semeja tanda persetujuan bahawa dalam minggu berikutnya cerpen saya pasti akan tersiar di majalah tersebut. Saya masih ingat kata-kata editor itu, “Ini pasti bukan janji!”

Saya sering terbaca di blog bahawa budaya kronisme lazimnya berlaku ketika pemberian tender projek atau ketika memilih pemain untuk mewakili organisasi dalam perlawanan bola sepak amal. Rupanya pemilihan cerpen untuk disiarkan di majalah juga mengutamakan kroni. Bagaimana saya mengetahui ini semua? Terima kasih kepada media sosial, Twitter.

Saya membaca setiap tweet editornya yang memuji dan mengucapkan tahniah kepada teman-temannya yang karya mereka tersiar di majalah tersebut.

  **

Malam ini adalah masa terbaik untuk saya mencari cerpen saya yang kononnya,  menurut editor ruangan sastera Majalah Kelabu sebagai telah ghaib. Saya sangat pasti cerpen saya tidak ghaib sebaliknya ia telah terperap dalam komputer editor itu. Jadi saya harus buktikan dengan mata kepala sendiri.

Saya masuk ke dalam rumah editor itu penuh hati-hati. Keadaan rumahnya biasa-biasa saja tidak dipenuhi perabot mewah mahupun permaidani import yang bila dipijak sangat lembut di tapak kaki.

Saya tahu editor itu sedang berada di salah satu bilik di dalam rumah itu kerana ketika di luar rumah tadi saya melihat cahaya lampu dari bilik tidur tingkat atas yang menghadap jalan. Di tingkat atas rumah teres itu ada tiga bilik tidur dan hanya satu bilik sahaja yang kelihatan cahaya lampu dari bawah pintu. Dengan berhati-hati pintu bilik dibuka.

Keadaan bilik itu memberi gambaran bahawa ia adalah bilik bacaan kerana tiada katil di dalamnya. Kemudian mata saya tertancap pada tubuh seseorang sedang terbaring di atas sofa panjang berwarna merah. Ya itulah dia editor ruangan sastera Majalah Kelabu!

Di suatu sudut bilik terdapat sebuah meja bacaan. Komputer peribadinya kelihatan berada dalam mood  bersedia walaupun monitornya terpadam tetapi kuasanya masih ada.

Saya fikir editor itu terlalu penat hingga lupa untuk menyimpan kerjanya di komputer itu. Saya baca apa yang kelihatan di skrin komputer. Ia sebuah cerpen yang barangkali dalam proses bacaan pruf. Kelihatan pada bahagian heading tertulis nama penulis cerpen tersebut, bunyinya seperti nama seorang perempuan.  Pada hemat saya, itu mungkin cerpen yang dimaksudkan editor itu pada tweetnya siang tadi.

Sekarang saya perlu mencari  cerpen saya yang pasti berada di dalam komputer itu. Tanpa berfikir panjang saya terus melarikan pointer tetikus ke butang close di penjuru atas sebelah kanan aplikasi Word  tersebut. Kemudian saya perhatikan ada  Icon Gmail di Taskbar skrin komputer. Saya lihat ada e-mel baharu yang sedang dikarang tapi belum dihantar. Saya membacanya dengan penuh teliti. Subjeknya berbunyi “Cerpen baharu untuk disiarkan dalam edisi minggu ini, lulus untuk diterbitkan”.

Editor tersebut rupanya sedang bersedia untuk menghantar cerpen yang sedang disemak ke bahagian penerbitan untuk proses cetakan. Saya gerakkan pointer tetikus ke arah sebelah kiri monitor mencari inbox e-mel editor tersebut. Saya teliti satu persatu e-mel yang diterima oleh editor itu.

Nah! Saya menemui e-mel saya sebulan yang lalu. Ia sudah ditandakan sebagai telah dibaca maka benarlah editor itu menipu saya. Tapi sebentar, e-mel yang saya hantar tidak ada dokumen lampiran! Tiada fail Word di dalamnya. Saya menepuk dahi sendiri. Perasaan serba salah bercampur geram menyelubungi diri saya namun hanya seketika. Saya sudah membuat rancangan tambahan.

Bersedia di tangan sebuah pendrive yang menyimpan cerpen tulisan saya yang telah ghaib itu. Cerpen tersebut bertajuk “Membunuh Editor” yang berkisar tentang rancangan seorang penulis yang tular di media sosial bersama teman imaginasinya untuk membunuh seorang editor penerbitan bebas kerana membuang manuskripnya ke dalam longkang di belakang hotel murah. Isteri saya satu-satunya individu (selain saya) yang telah membaca cerpen tersebut dan memberikan isyarat bagus, boleh diterima katanya.

Saya menutup komputer itu dan ekor mata saya mengerling ke arah jam dinding di dalam bilik yang menunjukkan tepat jam 12 tengah malam. Perlahan-lahan saya mengatur langkah ke arah sofa panjang itu. Saya melutut lalu menyeluk poket seluar jean mencari sesuatu. Saya tersenyum sendiri, gambaran kepuasan yang saya rasai ketika ini. Saya keluarkan sekeping kad bersaiz buku 555 kemudian saya membisikkan ke telinganya, “Selamat malam Mawar Harum, isteriku dan selamat hari lahir.”

Saya berjalan ke arah suis di dinding dan mematikan lampu bilik agar editor itu dapat menikmati tidurnya dalam kegelapan. Kepuasan jelas dapat saya rasakan kerana akhirnya cerpen saya akan kembali menghiasi ruangan sastera Majalah Kelabu selepas lebih sebulan hilang dari radar!


Pengarang :