GLOBAL

Rejim Bashar Al-Assad tiada ehsan, Ghouta digempur senjata kimia

DIOLAH OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 27 FEB: Senjata kimia dipercayai digunakan tentera rejim Basyar Al- Asad bagi menggempur Ghouta Timur di Syria selepas seorang kanak-kanak mati dan sekurang-kurangnya 13 lagi mengalami masalah kesukaran bernafas, kelmarin.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia berkata, mereka mengalami kesukaran bernafas selepas bedilan oleh pesawat tentera Syria di perkampungan Al-Shifuniyah di wilayah Ghouta Timur.

“Seorang kanak-kanak mati dan seorang wanita berada dalam keadaan kritikal,” kata pengarah agensi itu, Rami Abdel Rahman.

Seorang doktor, Yaqub, yang merawat mangsa memberitahu AFP, dia mengesyaki senjata kimia itu kemungkinan gas klorin.

Menurutnya, kanak-kanak berusia tiga tahun itu mati akibat kekurangan oksigen.

Sementara itu dilaporkan Rusia akan mewujudkan satu ‘koridor kemanusiaan’ dengan melaksanakan gencatan senjata selama lima jam setiap hari di Ghouta Timur.

Menurut Kementerian Luar Rusia, Presiden Vladimir Putin mengarahkan supaya gencatan senjata harian dilakukan dari jam 9 pagi hingga 2 petang bagi membolehkan penduduk tempatan dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.

Kerajaan Syria bagaimanapun tidak menyatakan persetujuan atau sebaliknya berhubung arahan tersebut.

Kumpulan penentang mendakwa rejim Presiden Bashar al-Assad menggunakan senjata kimia termasuk gas klorin, namun Moscow, sekutu kuat Bashar, menuduh pemberontak menggunakan bahan toksik untuk menunjukkan seperti ia dilancarkan tentera Syria.

Syria juga menafikan tentera negara itu memiliki senjata kimia.

Damsyik yang sering menafikan menggunakan senjata kimia dituduh melancarkan serangan gas klorin sejak beberapa minggu lalu termasuk dua kali pada Januari lalu di Ghouta Timur.

Wilayah itu yang terletak di pinggir Damsyik adalah kubu kuat terakhir kumpulan penentang dan diserang hebat oleh tentera rejim sejak pertengahan Februari lalu.

Laporan terbaru mengenai serangan kimia itu menyebabkan Perancis memberi amaran untuk menyerang Syria, manakala pegawai di Amerika Syarikat turut mengeluarkan kenyataan yang sama.

Agensi pemerhati melaporkan 21 kes kesukaran bernafas di Ghouta Timur pada 22 Januari lalu dengan penduduk dan sumber perubatan berkata, mereka mengesyaki ia serangan gas klorin.

Serangan yang sama menyasarkan pinggir Douma pada 13 Januari lalu.

Laporan serangan kimia itu dibuat sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak satu gencatan senjata bagi menamatkan serangan paling buruk dalam perang saudara selama tujuh tahun itu.

Lebih 500 penduduk dilaporkan terbunuh dalam serangan udara dan artileri yang dilancarkan rejim itu di Ghouta Timur.

=EZY=


Pengarang :