EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 3.8900/8930 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 20 FEB: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, dalam dagangan lengang selepas cuti perayaan yang panjang.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 3.8900/8930 berbanding dolar AS daripada 3.8890/8920, lapor BERNAMA.

Ketua Perdagangan OANDA Corp Asia Pasifik, Stephen Innes, berkata sentimen dolar AS lebih luas akan menentukan kadar untuk mata wang serantau, serta ringgit.

“Bagaimanapun, harga minyak yang kekal kukuh susulan ketegangan di Timur Tengah dan pematuhan had pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum, akan menentukan kedudukan mata wang serantau, termasuk ringgit,” katanya.

Berbanding sekumpulan mata wang utama, ringgit diniagakan lebih tinggi.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9593/9627 daripada 2.9619/9660 pada Isnin dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6430/6468 daripada 3.6472/6510 semalam.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4433/4486 daripada 5.4508/4554 dan tinggi berbanding euro kepada 4.8255/8297 daripada 4.8259/8311.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :