ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

RM145 juta atasi banjir lumpur di Kajang

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 7 FEB: Peruntukan RM145 juta sudah dipohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi masalah banjir lumpur yang kerap melanda kawasan Bukit Dukung, Kampung Sungai Sekamat dan Kampung Sungai Jernih, di sini.

Ahli Dewan Negeri Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kelulusan peruntukan berkenaan bergantung kepada belanjawan tahun hadapan kerana Sungai Langat berada di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memberikan peruntukan bagi menangani masalah itu tetapi jumlah jangka panjang perlu diselesaikan Kerajaan Persekutuan.

“Ia tidak memadai untuk melaksanakan perancangan menyeluruh. Masalah pembangunan di sekitar kawasan ini juga perlu diambil kira demi keselesaan penduduk.

“Saya sudah membuat perjumpaan dengan pihak Jabatan Pengairan Saliran Selangor, Majlis Perbandaran Kajang, Pejabat Daerah/ Tanah Hulu Langat dan wakil penduduk supaya langkah menyeluruh dapat diambil untuk menyelesaikan masalah ini.

“Selain itu, pihak bertanggungjawab juga sudah menjalankan tugas dengan baik sekali dalam mengatasi perkara ini,” katanya selepas melawat kawasan sungai yang terbabit dengan banjir, di sini, hari ini.

Difahamkan, banjir teruk berlaku di kawasan terbabit pada April, Mei, September 2017 dan terbaharu, pada 23 Januari lalu.

Masalah itu berlaku antaranya disebabkan beberapa kerja pembinaan dan pembagunan yang sedang dilaksanakan, di kawasan terbabit.

 


Pengarang :