SELANGOR

Roboh Plaza Tol Batu Tiga selesai hujung Mac

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 FEB: Kementerian Kerja Raya menjangkakan kerja-kerja perobohan struktur binaan Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 28 Mac ini.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu telah dimaklumkan PLUS Malaysia Berhad kepada pihak kementerian dan ketika ini proses pengalihan aset membabitkan peralatan tol, papan tanda dan sebagainya giat dijalankan sebelum perobohan struktur fizikal bermula.

“Sekarang ini, PLUS sedang dalam proses mengalihkan aset-aset mereka dari kawasan itu dan apabila telah sempurna, barulah kerja-kerja meroboh struktur bangunan dapat dibuat.

“Kita turut dimaklumkan bahawa program pengurusan trafik juga akan dijalankan bagi memastikan aliran trafik tidak terganggu semasa kerja-kerja perobohan dilaksanakan,” katanya lapor Bernama.

Sebelum ini, terdapat kenyataan daripada segelintir pihak terutama pengguna lebuh raya berkenaan yang mahu plaza tol itu dirobohkan selepas berlaku beberapa kemalangan meragut nyawa.

Kemalangan terbaru berlaku pada awal pagi semalam, melibatkan mangsa, Fathurezza Khoirul Huda Halimsuyto, 31, dan rakannya, Noor Hidayah Mohamed Rezmi, 27, yang maut ditempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.

Manakala, kemalangan pertama dilaporkan berlaku membabitkan tiga remaja yang menaiki Perodua Kancil dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang, pada 14 Januari lalu.

Kejadian itu turut mengorbankan dua daripadanya, sementara seorang lagi cedera parah dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan lanjut.


Pengarang :