Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre, Shah Alam pada 30 Jun 2016. Foto ARKIB SELANGORKINI
SELANGOR

Rumah percuma hanya janji palsu BN

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 FEB: Hasrat Barisan Nasional (BN) memberikan rumah percuma kepada pasangan muda baru berkahwin adalah sekadar janji manis yang ditabur menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, janji seperti itu sudah lama dibuat, namun ia sekadar janji kosong parti berkenaan.

“Jika BN mahu laksanakan skim ini, maka sudah tentu Kerajaan Pusat sudah laksanakannya terlebih dahulu.

“Rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan janji seperti ini kerana saya yakin mereka tidak mampu tunaikannya,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Iskandar yang juga Ahli Dewan Negeri Cempaka turut menegaskan, walaupun Kerajaan Negeri tidak memberi rumah percuma tetapi pelbagai skim disediakan bagi membantu golongan muda membeli rumah.

“Yang terkini, Smart Selangor First Homebuyer dilancarkan dengan Kerajaan Negeri meminjamkan 10 peratus daripada harga rumah untuk pembeli membayar deposit mendapatkan pinjaman bank.

“Skim ini bagi membantu golongan muda yang ingin membeli rumah tetapi tidak ada simpanan wang yang mencukupi untuk membayar deposit,” katanya.


Pengarang :